Aktiviti pertanian di Cameron Highlands kembali beroperasi

Ahmad (dua dari kiri) ketika meninjau kelangsungan operasi sektor pertanian di kawasan Cameron Highlands pada Ahad.
Ahmad (dua dari kiri) ketika meninjau kelangsungan operasi sektor pertanian di kawasan Cameron Highlands pada Ahad.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Semua aktiviti pertanian serta rantaiannya di daerah ini kembali beroperasi seperti biasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Aktiviti itu termasuk kegiatan lori mengangkut hasil buah-buahan dan sayur-sayuran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, operasi pertanian di kawasan tanah tinggi itu kembali seperti biasa berikutan kebenaran kepada semua sektor pertanian untuk beroperasi termasuk bagi kawasan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut beliau, ia selaras dengan keputusan kerajaan yang meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai perkhidmatan perlu yang dibolehkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"PKPD Kampung Raja meliputi kawasan dari Kampung Sungai Ikan sehingga ke Blue Valley melibatkan kawasan pertanian seluas sekitar 600 hektar.

"Kira-kira 75 peratus hasil pengeluaran pertanian dari kawasan tersebut untuk pasaran tempatan, manakala selebihnya iaitu 25 peratus untuk dieksport ke Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau kelangsungan operasi sektor pertanian di Tanah Rata di sini pada Ahad.

Aktiviti pertanian di kawasan itu sebelum ini didakwa terjejas berikutan pelaksanaan PKPD.

Artikel Berkaitan:

Dalam lawatan itu, beliau turut meninjau operasi di lapangan termasuk pergerakan lori-lori yang membawa hasil pertanian dari beberapa kawasan yang berada dalam kawasan PKPD.

Ahmad berkata, pihak kementerian telah mengeluarkan 1,172 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian kepada petani dan usahawan tani khususnya di daerah Cameron Highlands dalam tempoh 1 hingga 17 Jun lalu.

Katanya, dianggarkan seramai 500 orang pengusaha sayur dan 80 pekebun bunga menjalankan aktiviti pertanian di kawasan itu dengan hasil pengeluaran sayuran segar kira-kira 560 tan metrik setiap hari.

"Daripada hasil keluaran itu, kira-kira 180 tan metrik dari Kampung Raja dan Kampung Blue Valley, manakala 380 tan metrik lagi dari

kawasan Lojing.

"Sebanyak 75 peratus sayur-sayuran dari Cameron Highlands ini diedar setiap hari iaitu 50 peratus ke Kuala Lumpur, 16 peratus untuk pasaran Ipoh, Perak dan baki sembilan peratus untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membantu dalam pengaturan pemasaran dengan mengedarkan hasil pertanian ke beberapa lokasi seperti di Lembah Klang, Kuala Terengganu, Tangkak, Alor Setar dan Jerantut.

"FAMA juga menyediakan kemudahan pusat penggredan dan penyimpanan bilik sejuk bagi menampung hasil pertanian dari kawasan ini.

"Sehingga kini, FAMA telah mengeluarkan 257 surat kebenaran kepada petani dan pengusaha di Cameron Highlands bagi memudahkan mereka meneruskan aktiviti pemasaran hasil pertanian," katanya.

Pada lawatan yang disertai Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris dan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli turut diserahkan sumbangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin kepada petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya (SJR) Lojing di sempadan negeri.

Turut diserahkan sumbangan produk makanan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pahang bagi membantu meringankan beban petugas barisan hadapan.