Politik bukan percaturan rebut kuasa peringkat elit

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal dengan prinsip untuk membawa perubahan bahawa politik bukan percaturan merebut kuasa di peringkat elit atau pimpinan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjuangan sebenar yang perlu diangkat ialah aspirasi rakyat.

"Sekarang ini umpamanya ada orang yang cuba sama ada pertahan atau merebut atau tidak lagi mewakili aspirasi rakyat. Tidak peduli apa yang cukup atau tidak, tetapi hendak cari jalan pintas kerana politik itu bagi mereka (adalah tempat) untuk mendapatkan kuasa dan kekayaan.

"Kita tidak akan berganjak daripada pandangan ini bahawa kuasa itu akan dipikul sebagai satu amanah dan mesti mewakili aspirasi perjuangan rakyat," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden PKR sempena Kongres Nasional Keadilan ke-15 yang diadakan secara maya pada Ahad.

Menurut Anwar, kekuatan sebenar sesebuah kerajaan ialah mereka membawa kekuatan suara semua pihak bukannya mengambil pandangan sesetengah individu tetapi menggambarkan suara majoriti.

Katanya, prinsip sama turut disuarakan kepada rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan rakan rundingan lain.

"Saya katakan (bahawa) kita tidak boleh berganjak daripada prinsip tatakelola kerajaan yang lebih baik.

"Mesti kembali kepada 'good governance', mesti ubah paradigma politik ini daripada percaturan politik rebut kekayaan supaya pejabatnya lebih besar, kedudukan lebih tinggi supaya nampak boleh hulur projek sesuka hati, kemudian pamer kemewahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, golongan sedemikian boleh berbuat apa sahaja tetapi yang penting mereka tidak mempunyai hasrat untuk membawa perubahan kepada negara.