Impian bercuti ke Eropah musnah

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Impian seorang penjawat awam yang mahu melancong ke Eropah selama 11 hari tidak kesampaian selepas ditipu syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian tidak wujud di laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superitendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa seorang wanita berusia 30 tahun itu mengalami kerugian RM8,950 setelah pembayaran kepada suspek bagi tujuan terbabit.

Menurutnya, mangsa dikatakan melihatkan satu iklan percutian ke Eropah selama 11 hari lapan malam di Facebook pada Oktober 2017.

“Mangsa berurusan dengan suspek dan kemudian bersetuju untuk mengambil pakej percutian berkenaan.

“Selelas itu mangsa memindahkan wang secara berperingkat iaitu sebanyak tujuh kali transaksi ke dalam dua akaun syarikat yang diberikan oleh suspek bermula Oktober 2017 sehingga 7 Februari lalu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dibayar kepada syarikat berkenaan sebanyak RM8,950," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pada 8 Februari lalu, mangsa dimaklumkan bahawa pakej percutian berkenaan dibatalkan kerana syarikat berkenaan mengalami masalah dalaman.

“Mangsa cuba menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan kembali wangnya namun gagal dan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, seorang juruteknik wanita berusia 29 tahun di daerah ini kerugian RM20,900 selepas ditipu anggota sindiket pinjaman wang tidak wujud di Facebook, Rabu lalu.

Mohd Wazir berkata, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan pinjaman wang yang dipromosikan Syarikat Price Solution Sdn Bhd di Facebook sebelum meninggalkan nombor telefonnya di ruangan komen.

“Mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki dan mangsa memaklumkan ingin membuat pinjaman peribadi sebanyak RM25,000.

“Bagi mendapatkan pinjaman itu, mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran seperti peguam, insurans dan wang proses sebelum mangsa membuat pindahan wang sebanyak lapan kali menjadikan jumlah keseluruhan RM20,900,”katanya.

Tambahnya, semalam suspek menghubungi mangsa dan meminta mangsa membayar RM2,600 lagi untuk membatalkan pinjaman, namun mamgsa enggan berbuat demikian.

Laporan polis dibuat kerana merasakan dirinya tertipu di IPD Kuantan.

Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.