Kerajaan Negeri Sembilan sedia bersidang

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersedia mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Speaker DUN Negeri Sembilan pada Khamis bagi merancang persidangan DUN dan akan mempersembahkan hasil perbincangan tersebut kepada Tuanku Muhriz untuk mendapatkan perkenan baginda.

"Sebarang tarikh persidangan yang akan diangkat untuk dipersembahkan bagi perkenan Tuanku akan mengambil kira tempoh notis kepada Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) iaitu sekurang-kurangnya 28 hari notis selaras dengan Peraturan IV, Perintah 5, Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Tahun 1960," katanya menerusi kenyataan rasmi pada hantaran Facebooknya.

Beliau berkata, sekiranya perlu, notis segera boleh dikeluarkan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ujarnya, tarikh dan tempoh persidangan juga akan mengambil kira tarikh prorog dan hari istiadat pembukaan Penggal Persidangan tertakluk kepada perkenan Tuanku.

Selain itu katanya, beliau mewakili kerajaan Negeri Sembilan menjunjung kasih atas titah pandangan Yang di-Pertuan Agong bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

"Seri Paduka Baginda juga telah menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera serta berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya 'exit strategy' bagi mengawal penularan wabak itu di negara ini.

"Sesungguhnya titah Seri Paduka Baginda yang disokong oleh Raja-raja Melayu melambangkan keprihatinan yang tinggi terhadap kesihatan dan kehidupan rakyat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Raja-raja Melayu menegaskan fungsi Parlimen sebagai platform penting bagi wakil rakyat berbincang dan berbahas mengenai pelbagai isu khususnya dalam usaha mendepani pandemik Covid-19 dan membantu rakyat yang terkesan akibat krisis ini, "katanya.

Aminuddin berkata, ia selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Proklamasi Darurat telah dilaksanakan pada 14 Januari 2021 yang berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021.

Jelas beliau, berdasarkan klausa 15(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, peruntukan berhubung urusan memanggil, memprorog dan membubarkan DUN dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak mempunyai kesan.

"DUN hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

"DUN Negeri Sembilan kali terakhir bersidang pada 3 Disember 2020 iaitu persidangan selama lima hari pada 27 November (Jumaat). Berdasarkan Peraturan IV Perintah 2, Peraturan-peraturan Tetap dan Perintah-perintah Tetap DUN Negeri Sembilan Tahun 1960, tarikh persidangan selanjutnya hendaklah diadakan tidak lebih enam bulan dari tarikh 3 Disember 2020 iaitu jatuh pada 2 Jun 2021.

"bagaimanapun, tempoh enam bulan itu terhenti melalui proklamasi darurat berkenaan dan tempoh enam bulan akan berjalan semula sejurus selepas 1 Ogos 2021 (sekiranya darurat tidak disambung lagi)," katanya.