'Amal solat sunat, doa pada ALLAH untuk terang hati'

Nur Aina Mutmainnah di samping ibunya, Norhayati dan bapanya, Mohd Hanifuddin.
Nur Aina Mutmainnah di samping ibunya, Norhayati dan bapanya, Mohd Hanifuddin.
A
A
A

DUNGUN - Satu-satunya pelajar yang memperoleh 10 Mumtaz dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari Terengganu sebak dan segera melakukan sujud syukur selepas menerima keputusan cemerlang itu pada Khamis.

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu (MTQT), Nur Aina Mutmainnah Mohd Hanifuddin, 20, berkata, dia sebak dan bersyukur kerana usaha keras dan tumpuan sepenuhnya ketika belajar dalam tempoh pandemik Covid-19 membuahkan hasil.

"Mula-mula dapat keputusan itu saya segera peluk umi dan abah. Kami sama-sama lakukan sujud syukur," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Nur Aina Mutmainnah yang tinggal di Kampung Balai Besar, di sini mengakui sukar mengikuti kaedah pembelajaran atas talian dan memerlukan kesungguhan.

"Belajar dari rumah memerlukan privasi untuk benar-benar fokus dan memahami apa yang dipelajari.

"Biasanya, pada sebelah pagi saya akan fokus kepada hafazan al-Quran dan rehat pada sebelah petang sebelum menyambung belajar sebelah malam," katanya.

Selain fokus dalam pelajaran, anak kepada pasangan guru, Mohd Hanifuddin Salleh, 55, dan Norhayati Mat Midin, 55 itu akan bangun malam untuk melakukan solat sunat seperti solat sunat hajat, tahajud dan sentiasa mengamalkan solat sunat duha.

"Saya memperbanyakkan amalan sunat, doa pada ALLAH SWT untuk terang hati dan dipermudahkan untuk menerima ilmu baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anak ketiga daripada lima beradik itu berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan al-Quran dan Sunnah (Qiraat) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Katanya, selain mendapat sokongan guru dan ibu bapa, dia juga menjadikan abangnya, Athir Rushdan, 22, yang kini melanjutkan pengajian di Mesir sebagai inspirasi.

Dalam pada itu, Nur Aina Mutmainnah turut merakam penghargaan dan terima kasih terutama kepada penyelaras STAM MTQT, Farezuan Mat Azahar dan guru bimbingan hafazan al-Quran, Nurul Hidayah Ahmad Zakhi kerana banyak memberi tunjuk ajar.

"Terima kasih atas sokongan semua guru-guru sehingga saya boleh mencapai kejayaan ini," katanya.