X

Kindly register in order to view this article
!

e-Payroll bantu optimum kos operasi PKS, usahawan

Tengku Zafrul - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Penggunaan inisiatif e-Payroll akan dapat mengurangkan kos operasi dan mengoptimumkan sumber manusia sedia ada bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta para usahawan, kata Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, sistem penggajian digital yang dibangunkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan membolehkan fokus PKS dan usahawan dikhususkan kepada urusan perniagaan seperti pemasaran dan sebagainya.

Rakyat dan perniagaan termasuk PKS terkesan akibat pandemik Covid-19 sekali gus memaksa hampir semua jenis industri dan perniagaan menyesuaikan perniagaan mereka dengan sistem dalam talian dan proses operasi perniagaan secara digital, katanya.

“e-Payroll memainkan peranan yang penting untuk membantu para majikan menguruskan rekod penggajian secara digital sekali gus memudahkan proses pengurusan caruman.

“Inisiatif e-Payroll ini merupakan antara medium yang menyokong usaha kerajaan dalam mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif di negara ini,” katanya ketika berucap bagi melancarkan insiatif itu secara maya pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata, kemudahan e-Payroll KWSP terutama bagi usahawan PKS adalah sejajar dengan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang menyokong keseluruhan rancangan infrastruktur digital nasional, dengan RM21 bilion telah diperuntukkan selama lima tahun untuk meningkatkan sambungan Internet, memacu digitalisasi dan mengoptimumkan penggunaan Internet.

Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, e-Payroll merupakan penambahbaikan kepada kemudahan dalam talian KWSP sedia ada iaitu i-Akaun (Majikan).

Beliau berkata, KWSP sedar bahawa peranan digitalisasi semakin penting dalam kehidupan semua dan situasi pandemik Covid-19 telah mendorong pihaknya untuk menyesuaikan teknologi digital dengan lebih pantas.

“Kemudahan ini (e-Payroll) berupaya mengautomasikan dan menggabungkan pelbagai fungsi penggajian, pampasan, caruman, dan potongan ke dalam satu aplikasi mudah.

“Tambahan lagi pekerja-pekerja syarikat juga boleh mendapatkan slip gaji dan caruman yang diterima dengan tepat dan betul...majikan boleh menaruh keyakinan bahawa melalui e-Payroll, fungsi penggajian dapat dilakukan dengan lebih tepat dan betul di samping menjimatkan masa dan kos syarikat,” katanya semasa berucap.

Ahmad Badri menyarankan supaya majikan-majikan mengambil manfaat dan menyambut baik kemudahan e-Payroll yang tidak melibatkan sebarang yuran langganan dan akses adalah dibuka kepada pengguna i-Akaun (Majikan). - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!