X

Kindly register in order to view this article
!

Bagi Cheng Hoe peluang

Cheng Hoe kini menyerahkan kepada FAM bagi menentukan masa depannya bersama skuad Harimau Malaya. -Foto FB FAM
A
A

TIADA keperluan mendesak untuk menukar Tan Cheng Hoe dengan pengendali baharu tatkala Harimau Malaya sedang dalam rangka persiapan menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Februari tahun depan.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, Cheng Hoe harus diberikan kepercayaan untuk terus mengemudi Harimau Malaya, apatah lagi ada perkembangan positif sejak beliau mengambil alih skuad kebangsaan sejak Disember 2017.

“Kita perlu tengok kepada banyak perkara dan jangan hanya salahkan jurulatih apabila pasukan tewas dan sebagainya. Lagipun, pasukan negara beraksi pada kempen kelayakan di Dubai itu dengan persiapan yang kurang lengkap dengan latihan yang tidak mencukupi.

“Malah, projek naturalisasi dengan kehadiran beberapa pemain baharu dalam tempoh yang singkat gagal untuk membentuk kesefahaman yang baik. Itu antara punca pasukan negara gagal menyerlah di Dubai.

“Bagi saya, situasi itu memberikan kesan negatif kepada pasukan negara dalam menghadapi pusingan kelayakan itu. Kalau dalam masa singkat ini semua pihak terus nak hasil positif dan nak menang piala... memang susahlah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Sebagai rekod, Cheng Hoe secara rasmi dilantik sebagai pengendali baharu Harimau Malaya pada 7 Disember 2017 bagi menggantikan tempat Nelo Vingada selepas jurulatih kelahiran Portugal itu mengambil mengambil keputusan melepaskan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih, Cheng Hoe yang juga bekas pengendali Kedah bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Vingada yang hanya memikul tugasnya selama enam bulan.

Sejak mengambil alih teraju dalam skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe dilihat berjaya melaksanakan tugasnya sehingga membawa Malaysia muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018.

Dalam kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sentuhan Cheng Hoe menyaksikan Harimau Malaya meraih 12 mata hasil empat kemenangan dan empat kekalahan.

Biarpun terlepas slot ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022, Cheng Hoe masih mampu menghela nafas lega apabila berjaya membawa Harimau Malaya beraksi pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2023 tanpa perlu mengharungi aksi play-off.

Dalam pada itu, Mohd Azraai menyambut baik hasrat bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan diri untuk menguruskan skuad kebangsaan, namun beliau turut berpendapat khidmat Cheng Hoe masih perlu dikekalkan.

“Kalau Tunku ambil alih, sudah semestinya Tunku mungkin pilih jurulatih terbaik atau ikut citarasanya. Tetapi coach Tan masih boleh berada dalam pasukan negara sebagai jurulatih tempatan kerana beliau ada pengalaman dan pengetahuan.

“Kalau nak dibandingkan dengan sebelum coach Tan ambil alih pasukan lagi teruk. Sekurang-kurangnya selepas coach Tan ambil alih ada nampak perkembangan positif dan jauh lebih baik daripada dulu.

“Nampak beliau mengutamakan pemain muda dan keserasiannya dengan pemain pun tak ada masalah. Beri coach Tan masa, lagipun beliau masih muda dan masih banyak perkara yang boleh beliau buktikan,” jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!