MAFI nilai bantu pesawah terjejas serangan serangga perosak

Ronald (dua dari kanan) turun padang dan meninjau kawasan tanaman padi terjejas di Sabak Bernam pada Khamis.
Ronald (dua dari kanan) turun padang dan meninjau kawasan tanaman padi terjejas di Sabak Bernam pada Khamis.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membuat penilaian bagi membantu pesawah terjejas akibat serangan ulat pengorek batang dan ulat gulung daun di kawasan tanaman padi sekitar kawasan Panchang Bedena dan Bagan Terap/Sungai Panjang pertengahan Mei lalu.

MAFI dalam kenyataannya memaklumkan, bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi itu tertakluk kepada penilaian oleh jawatakuasa yang telah ditetapkan.

Menurut kenyataan itu, serangan serangga perosak tanaman itu melibatkan kawasan seluas 6,632.4 hektar sawah atau hampir 98 peratus daripada luas keseluruhan iaitu 6,805.2 hektar kawasan tersebut.

"MAFI merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor yang telah menyumbang sebanyak RM1.05 juta bagi membantu kawalan serangan ulat pengorek batang dan ulat gulung daun," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah turun padang untuk meninjau kawasan tanaman padi yang terlibat selain memastikan masalah serangan serangga perosak membabitkan tanaman padi di IADA Barat Laut Selangor ditangani dengan baik.

Ronald (tiga dari kiri) meninjau kawasan padi terjejas berikutan serangan makhluk perosak tanaman di Sabak Bernam pada Khamis.
Ronald (tiga dari kiri) meninjau kawasan padi terjejas berikutan serangan makhluk perosak tanaman di Sabak Bernam pada Khamis.

Hadir sama pada lawatan kerja itu, Timbalan I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Mohd Nasir Warris dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood.

Kenyataan itu memberitahu, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Selangor telah melakukan kawalan bersepadu terhadap serangan serangga perosak tanaman padi di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Antara langkah diambil seperti penggunaan racun berkesan, pengurusan jerami padi sempurna dan penggunaan varieti benih padi seragam.

"Selain itu, langkah lain antaranya penyediaan tanah sawah dengan sempurna, pelaporan segera kepada agensi pengurusan padi serta pelaksanaan amalan pertanian baik yang digariskan Jabatan Pertanian Malaysia bagi meningkatkan hasil dan mutu padi," katanya.

Kenyataan itu memberitahu, pada lawatan turun padang itu, Ronald turut meninjau tapak program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diusahakan oleh Syarikat FGV Holdings Berhad.

"Program SMART SBB ini adalah di bawah seliaan terus MAFI dan jalinan kerjasama dibuat dengan pihak swasta dengan sasaran untuk memacu pertumbuhan dan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah.

"Selain itu, Menteri MAFI turut meninjau operasi di loji pengeluaran benih padi Syarikat Dataran Pusaka yang merupakan salah satu pengeluar benih padi," jelas kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, lawatan tersebut bagi memastikan operasi loji-loji tidak terganggu dan berterusan sepanjang masa bagi menjamin pengeluaran benih padi yang berkualiti dan mencukupi untuk menampung keperluan penanaman padi pada musim akan datang.

Kenyataan itu memaklumkan, Ronald turut melawat Kilang Beras Rakyat Sekinchan Sdn Bhd bagi melihat operasi kilang pemprosesan beras.

"Kerajaan akan memastikan operasi industri padi dan beras serta rantaiannya sentiasa lancar dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan ruji negara," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, susulan kepada pengumuman lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pihak MAFI juga telah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan industri padi dan beras.

Ronald (dua dari kiri) meninjau operasi di loji pengeluaran benih padi pada lawatan kerjanya di Sabak Bernam pada Khamis.
Ronald (dua dari kiri) meninjau operasi di loji pengeluaran benih padi pada lawatan kerjanya di Sabak Bernam pada Khamis.

"Ia merangkumi aktiviti-aktiviti seperti penanaman padi, pembajakan dan penuaian, penyelenggaraan sawah dan perparitan, penggunaan dron bagi tujuan penaburan benih dan kawalan penyakit.

"Aktiviti lain seperti pengedaran input pertanian seperti baja, benih padi kepada pesawah, pengoperasian kilang benih padi, kilang beras dan kilang pembungkus beras, pengedaran dan logistik bagi tujuan pengedaran dan pemasaran beras dan kilang pemprosesan produk berasaskan beras," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, semasa tempoh lanjutan itu, waktu beroperasi untuk pengusaha padi dan pengilang beras bagi tujuan aktiviti di atas juga dilanjutkan kepada 24 jam dengan kapasiti tenaga kerja berada pada tahap maksimum iaitu sebanyak 100 peratus.

"Ini berikutan pihak MAFI perlu memastikan aktiviti pengeluaran padi dan beras negara tidak terjejas dalam tempoh pelaksanaan PKP 3.0 ketika ini, sekali gus menjamin kecukupan stok beras negara," katanya.