Sektor pertanian di Cameron Highlands dibenar beroperasi semula

Sektor pertanian di Cameron Highlands dibolehkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada SOP tertentu yang ditetapkan oleh MKN. Gambar kecil: Ronald Kiandee
Sektor pertanian di Cameron Highlands dibolehkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada SOP tertentu yang ditetapkan oleh MKN. Gambar kecil: Ronald Kiandee
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jemaah menteri membuat keputusan untuk membenarkan sektor pertanian dan rantaiannya di Cameron Highlands, Pahang beroperasi walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi menjamin bekalan tidak terganggu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia selaras dengan keputusan kerajaan meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai satu perkhidmatan perlu.

Jelasnya, sektor itu dibolehkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Keputusan ini turut merangkumi sektor florikultur dan bunga hiasan yang dibenarkan beroperasi seperti sektor pertanian lain.

"Keputusan ini akan membolehkan operasi pekebun di peringkat ladang serta pergerakan keluar masuk lori-lori yang mengangkut hasil pertanian termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan dari kawasan PKPD di Cameron Highlands bagi membolehkan penghantaran dari ladang-ladang dapat diteruskan. Ini adalah penting bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terganggu dalam apa jua keadaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan beberapa jenis sayur-sayuran mengalami peningkatan antara 30 hingga 40 peratus sejak Isnin lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands.

Antara sayur-sayuran itu ialah tomato, timun Jepun, cili, kubis, kacang buncis, lada manis atau lada benggala dan semua jenis salad disebabkan pengeluaran terpaksa dihentikan ekoran 12,000 pekerja asing dan tempatan di kawasan tanah tinggi itu tidak dapat bekerja.

2
2

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ronald berkata, keputusan itu adalah penting bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terganggu dalam apa jua keadaan.

"MAFI akan memastikan semua rangkaian dan rantaian dalam aktiviti sektor pertanian dan industri makanan tidak akan terjejas sepanjang pelaksanaan PKP termasuk PKPD di beberapa kawasan tertentu demi kelangsungan rantaian bekalan makanan dan jaminan sekuriti makanan negara," katanya.

PKPD jadi punca

Ronald berkata, masalah di peringkat pemasaran dan penghantaran sayur ke pasar tergendala susulan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan di Cameron Highlands bermula 14 hingga 27 Jun.

"Ini termasuk Kampung Raja yang meliputi dari Kampung Sungai Ikan hingga ke Kampung Blue Valley di mana kawasan tersebut merupakan kawasan pertanian yang melibatkan keluasan 607 hektar," katanya.

Ujarnya, pelaksanaan PKPD di Kampung Raja telah menyebabkan pengusaha sayur khususnya yang menetap di kawasan tersebut tidak dapat menjalankan aktiviti di setiap rantaian aktiviti pertanian meliputi kawasan Lojing, Gua Musang, Kelantan dan juga kawasan sekitar Kampung Raja, Kampung Blue Valley dan Kampung Sungai Ikan.

"Ini menyebabkan hasil pertanian sebanyak 500 tan metrik tidak dapat diedar keluar kepasaran memandangkan pekerja-pekerja yang berada di kawasan tersebut tidak boleh bergerak keluar ke ladang dan lori yang mengangkut hasil pertanian turut tidak dapat keluar dari kawasan PKPD," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan seramai 500 orang petani sayur dan 80 orang petani bunga menjalankan aktiviti pertanian di kawasan ini yang menghasilkan 560 metrik tan produk setiap hari.

"Mereka menghasilkan 180 metrik tan dari Kampung Raja, Kampung Blue Valley dan sebanyak 380 metrik tan dari Lojing," katanya.

Menurutnya, sektor pertanian juga akan terus dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara selaras dengan persiapan untuk negara keluar daripada pandemik Covid-19.

"Diharapkan dengan keputusan ini dapat meredakan isu pergerakan bekalan sayur-sayuran selain turut melegakan para petani dan pemain industri sektor pertanian di kawasan yang terlibat dengan PKPD khususnya Cameron Highlands," katanya.

Sehingga 15 Jun, MAFI menerusi jabatan dan agensi di bawahnya telah mengeluarkan sebanyak 1,456 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan di Cameron Highlands sahaja.

"MAFI akan meneruskan usaha untuk memastikan bekalan makanan negara kekal stabil dan mencukupi dalam apa jua keadaan, terutamanya ketika negara sedang mengharungi pandemik Covid-19," katanya.