Pantau operasi kilang semasa PKP

Shahanim
Shahanim
A
A
A

SUNGAI PETANI - Kerajaan digesa meneliti semula kelulusan membabitkan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, penelitian dan pemantauan perlu dilakukan bagi memastikan kebenaran beroperasi tidak disalah guna sekali gus mengundang risiko penularan wabak penyakit Covid-19.

Menurutnya, beberapa aduan diterima khususnya di Sungai Petani membabitkan kilang yang dikategorikan sebagai bukan keperluan utama (non essential services), namun beroperasi seperti biasa.

"Perkara itu perlu diteliti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana fokus utama PKP ialah memutuskan rantaian Covid-19 selain hanya membenarkan sektor ekonomi penting sahaja beroperasi.

"Langkah sedemikian mampu mengurangkan risiko penularan terhadap pekerja dan ahli keluarga mereka,"katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Shahanim mendakwa, terdapat kes penularan bukan sahaja merebak dalam kalangan pekerja kilang malah turut menjangkiti pengusaha kantin sebuah kilang di Sungai Petani, mengakibatkan sembilan ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan wanita hamil positif Covid-19 sehingga ada yang kritikal.

"Bayangkan jika Covid-19 merebak, maka berisikolah kesemua pekerja dan keluarga, tidak hairanlah bila ramai pekerja kilang mengadu mereka enggan bekerja, disebabkan semua faktor ini.

"Bagaimanapun, bagi yang terdesak, mereka sanggup menggadai nyawa diri, anak dan ibu bapa, disebabkan bimbang dibuang kerja sekaligus hilang punca pendapatan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau turut menerima aduan tentang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) terhadap kilang yang beroperasi lebih masa, tiada penjarakan fizikal, jumlah pekerja tidak dihadkan dalam satu masa, ketiadaan alat pelindung diri selain langkah-langkah pencegahan diambil ringan oleh sesetengah majikan.

"Kalau boleh, MITI semak semula kilang yang tiada kaitan, arahkan tutup serta-merta,"tegasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau merayu kerajaan melaksanakan moratorium automatik bagi menjamin kelangsungan hidup terutama golongan yang tidak dibenarkan atau diberhentikan kerja.

"Kita tahu ramai yang terjejas termasuk pekerja kilang yang terdiri daripada golongan B40 yang terpaksa duduk di rumah sepanjang PKP.

"Kerajaan kena bantu mereka beri moratorium atau sekurang-kurangnya kebenaran mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Ini penting kerana mereka masih ada anak-anak dan keluarga yang perlu diberi perhatian.

"Lebih baik jika mereka tergolong dalam kategori penerima bantuan makanan berikutan hilang punca pendapatan," katanya.