X

Kindly register in order to view this article
!

Wanita rentung van terbakar

Keadaan van yang terbakar mengakibatkan seorang wanita rentung.
A
A

KUALA KANGSAR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita rentung apabila van kilang dipandunya terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 53.8 Jalan Ipoh-Taiping dekat persimpangan lampu isyarat Taman Bunga Raya di sini pada Selasa.

Kejadian sekitar jam 6.05 petang itu mengakibatkan S Rojamani, 38, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian itu, mangsa telah tersepit di bahagian pemandu menyebabkannya tidak sempat keluar apabila kenderaan berkenaan terbakar.

"Dua pekerja kilang yang turut berada dalam van terbabit masing-masing berusia 20 dan 28 tahun sempat keluar dari kenderaan itu dan hanya mengalami luka-luka di kepala.

"Bagaimanapun mangsa yang tersepit di dalam kenderaan telah rentung," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila van dipandu mangsa yang datang dari arah Kuala Kangsar menghala ke Padang Rengas melanggar bahagian belakang SUV jenis Nissan X-Trail dari arah sama.

Katanya, SUV dipandu lelaki berusia 54 tahun itu didakwa telah memberi isyarat untuk membelok ke lorong kiri, namun kenderaan mangsa yang berada di belakang tidak sempat berhenti.

"Pelanggaran itu mengakibatkan van terbabit terbalik dan melintang di tengah jalan sebelum terbakar.

"Api berjaya dipadam oleh anggota bomba dan mayat mangsa yang dikeluarkan telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat," katanya memaklumkan siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sebaik tiba di lokasi didapati, sebuah van dalam keadaan terbakar 90 peratus dan terdapat seorang wanita tersepit di bahagian pemandu.

"Operasi pemadaman dilakukan sebelum mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 7.12 malam," katanya.

Video kejadian itu yang berdurasi 45 saat tular di media sosial menunjukkan keadaan van yang terbakar disertai beberapa bunyi letupan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!