X

Kindly register in order to view this article
!

41 NGO gesa kerajaan buka sidang Parlimen

Sumber gambar daripada laman rasmi Pertubuhan Ikram Malaysia.
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 41 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan supaya membenarkan pembukaan sidang Parlimen yang dilihat sebagai medan terbaik dalam menyelesaikan krisis pandemik Covid-19 di negara ini.

Dalam kenyataan bersama, NGO terbabit berpandangan, tanpa semak dan imbang yang berkesan, perintah darurat telah merosakkan amalan demokrasi berparlimen.

Kata kenyataan itu, NGO terbabit turut mencadangkan beberapa inisiatif lain yang boleh kerajaan laksanakan dalam menangani krisis tersebut.

“Darurat ditamatkan dan tidak dilanjutkan selepas 1 Ogos 2021.

“Ahli-ahli parlimen merentasi parti mengetepikan perbezaan politik dan bersama-sama berganding bahu untuk menangani krisis kesihatan Covid-19, memulihkan ekonomi serta menyelesaikan krisis pendidikan dan krisis sosial yang melanda negara,” kata NGO terbabit dalam kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, NGO, Pertubuhan Masyarakat Sivil, golongan profesional, teknokrat dan pakar bidang hendaklah dilibatkan secara aktif dalam usaha menangani krisis-krisis yang melanda negara.

“Kumpulan-kumpulan ini sewajarnya diberi peranan untuk bersama-sama menyumbang ke arah pemulihan negara.

“NGO dan Pertubuhan Masyarakat Sivil sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk Malaysia dan bersedia berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk menyelesaikan krisis-krisis yang sedang melanda negara,” kata kenyataan itu.

Antara NGO dalam kenyataan bersama tersebut adalah Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Akademi Literasi Politik (Shield), Aliran, All Women's Action Society (AWAM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Demokrat Kebangsaan, G25 Malaysia dan Gabungan Bertindak Malaysia.

Pada 11 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudian memaklumkan Parlimen tidak akan bersidang dalam tempoh Proklamasi Darurat sehingga 1 Ogos.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan selepas itu menyatakan Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!