X

Kindly register in order to view this article
!

SJR Plaza Tol Jalan Duta johan Kempen SJR Terbaik

Pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur mengendalikan SJR Plaza Tol Jalan Duta.
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur yang mengendalikan sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Jalan Duta telah dinobatkan sebagai johan Kempen SJR Terbaik Op Covid-19 Kontinjen Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras yang mengendalikan SJR Jalan Cheras di hadapan Cheras Eko Mall pula terpilih sebagai naib johan kempen tersebut.

"Bagi menilai keberkesanan pelaksanaan SJR tersebut, kita telah menjalankan Kempen SJR Terbaik Op Covid-19.

"Kriteria yang dinilai dalam kempen ini adalah kesiapsiagaan dari aspek logistik dan petugas-petugas seperti kaedah mengendalikan SJR, pengetahuan petugas berkaitan SJR, kebersihan/kekemasan di SJR dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azmi berkata, kempen itu bertujuan untuk memberikan suntikan semangat kepada petugas di lapangan supaya terus komited memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

"Setelah penilaian yang terperinci dilakukan terhadap 13 SJR yang terlibat, SJR Plaza Tol Jalan Duta telah menjadi johan kempen tersebut," katanya.

Azmi berkata, pihaknya akan terus berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dan pada masa yang sama turut memotivasikan petugas barisan hadapan Polis Kuala Lumpur dengan kempen sebegini.

"Nilai hadiah bukanlah ukuran, sebaliknya pengiktirafan kemenangan menjadi pembakar semangat kepada petugas-petugas untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang.

"Terima kasih juga diucapkan kepada orang ramai yang memberikan kerjasama kepada pihak Polis dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan demi mendatarkan kadar jangkitan Covid-19," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!