Lelaki mengaku tidak salah seret kucing atas jalan

Azizul (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing.
Azizul (kanan) didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing.
A
A
A

TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Isnin atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing pada awal Jun lepas.

Tertuduh, Azizul Salahuddin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu kepada haiwan iaitu dengan menyeret seekor kucing di atas jalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Attaduri Langkap, Hilir Perak kira-kira jam 6.30 petang pada 3 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail menawarkan jaminan RM8,000, bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan memohon agar wang jaminan berkenaan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap selain masih menanggung ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh telah ditahan polis pada 4 Jun lepas bagi membantu siasatan kes itu selepas satu video memaparkan tindakannya seolah-olah mengheret kucing di atas jalan tular di media sosial.

Dalam laporan sebelum ini, tertuduh dikatakan menangkap kucing itu menggunakan sauk untuk dibuang ke kedai berhampiran, namun kaki depan haiwan itu telah terkeluar dari jaring sauk menyebabkan ia seolah-olah diseret di atas jalan.

Video berdurasi satu minit yang dimuat naik pengguna jalan raya itu mendapat kecaman daripada warganet yang menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai kejam.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki nafi sengaja seret 'oyen'