Tukang besi, pembantu kedai rugi hampir RM300,000

Elias Omar
Elias Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang tukang besi dan pembantu kedai kerugian hampir RM300,00 akibat diperdaya satu sindiket yang menawarkan komisen hasil pelaburan melalui platform pembelian dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, tukang besi tersebut yang berusia 27 tahun menerima satu pautan melalui aplikasi WhatsApp pada 6 Jun lalu.

Menurutnya, selepas membuka pautan tersebut, mangsa diminta tangkap layar dan menghantar semula gambar barangan dalam platform talian itu ke nombor telefon yang disertakan dan akan mendapat kembali wang yang dilaburkan berserta komisen.

"Mangsa mempercayai selepas menerima kembali wang pembelian barangan dalam talian itu berserta komisen pada 9 Jun lalu atas tiga transaksi pembayaran melalui sebuah bank iaitu sebanyak RM3.65 atas kos pembelian barangan berjumıah RM73.70, RM 39.15 (RM783.10) dan RM23.49 (RM469.80).

"Mangsa kemudian telah melakukan lagi enam kali transaksi pembayaran secara dalam talian antara 10 Jun hingga 12 Jun ke dalam tiga akaun bank berbeza berjumlah RM179,154.64, tetapi dia tidak menerima wang komisen dan wang pelaburan seperti sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Elias berkata, lelaki itu sedar ditipu apabila diminta membuat pembayaran tambahan sekiranya ingin mendapat kembali wang yang telah dilaburkan bersama wang komisen berkenaan.

Menurutnya, mangsa telah tampil membuat laporan polis pada 12 Jun di Balai Polis Kota Setar dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Kesalahan Tipu).

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pembantu kedai berumur 29 tahun mengalami kerugian hampir RM120,000 ditipu oleh sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi (MO) sama setelah membuat pembayaran pada 31 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Elias berkata, mangsa juga telah mendapat komisen pada awalnya namun tampil membuat laporan polis pada 4 Jun setelah sedar ditipu.

Menurutnya, selepas pembayaran pembelian kali ketiga berjumlah RM119,897 dibuat ke dalam lima akaun bank berbeza, mangsa tidak mendapat sebarang komisyen dan wang pembayaran tidak dikembalikan.

"Kes-kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Penipuan yang menawarkan komisyen dan pemulangan wang pelaburan menggunakan MO seperti ini adalah antara satu cara penipuan yang terbaharu dikesan.

"Pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan pelaburan yang mencurigakan dan menjanjikan keuntungan yang besar," ujarnya.