EMIR perjelas kerugian RM4.5 trilion akibat rasuah

 Rais Hussin
Rais Hussin
A
A
A

SHAH ALAM - EMIR Research tampil memperjelaskan bagaimana anggaran kerugian RM4.5 trilion akibat rasuah di negara ini diperoleh susulan metodologi penyelidikan badan itu dipertikaikan segelintir pihak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, secara khususnya, anggaran itu jelas tidak terhad pada kerugian akibat rasuah dan ketirisan oleh sektor awam sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, ia turut merangkumi kerugian kewangan keseluruhan meliputi semua sektor disebabkan rasuah dan ketirisan di setiap peringkat ekonomi.

"Di kala terdapat suara-suara kecil yang kurang pengetahuan mempersoalkan tentang metodologi penyelidikan, EMIR Research ingin memberikan penjelasan tambahan bagi memudahkan pemahaman tentang metodologi penyelidikan yang digunakan.

"Untuk penjelasan sekali lagi, EMIR Research tidak pernah mendakwa bahawa angka tersebut adalah muktamad, sebaliknya menekankan bahawa ia adalah satu latihan penyelidikan yang teliti.

"Ia berdasarkan metodologi penyelidikan terbaik dan titik data yang dilaporkan secara terbuka iaitu tempatan dan global untuk mendapatkan anggaran yang munasabah dan hakikatnya ia anggaran yang sangat konservatif kepada sebuah angka yang amat menakutkan iaitu kerugian ekonomi akibat rasuah dan ketirisan oleh sesebuah negara," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Rais Hussin memberitahu, dalam usaha menganggarkan kerugian akibat rasuah, EMIR Research telah menggunakan dua metodologi yang berbeza dan menariknya kedua-dua metodologi memberikan hasil yang hampir sama.

Menurutnya, bagi pendekatan pertama, EMIR Research menggunakan anggaran yang dilaporkan secara terbuka untuk kerugian ekonomi negara akibat rasuah dalam bentuk peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), khususnya oleh pelbagai pihak berkuasa di Malaysia semasa membina semula trend jangka panjang selama 26 tahun.

Sebagai kaedah alternatif iaitu saintifik dan teliti, katanya, EMIR Research pertama sekali menggunakan teknik pemodelan Rasch untuk mencipta pengukuran linear bagi tahap rasuah di pelbagai negara dari tahun 1996 hingga 2022 (jangka masa yang ditentukan berdasarkan ketersediaan data semata-mata).

"Ia kemudiannya dibandingkan dengan anggaran kerugian yang dilaporkan secara terbuka berkaitan rasuah sebagai peratusan KDNK untuk 65 buah negara dalam tempoh yang sama.

"Oleh itu, dengan menggunakan teknik ini, EMIR Research menggabungkan pelbagai petunjuk yang diiktiraf di peringkat global menjadi satu ukuran komposit rasuah yang juga dilakukan untuk mengelakkan daripada bergantung kepada satu sumber anggaran bagi tahap rasuah di sesebuah negara," ujarnya.

Rais Hussin berkata, kedua-dua kaedah pengiraan menghasilkan keputusan yang hampir sama iaitu menunjukkan anggaran kerugian kewangan langsung kepada ekonomi Malaysia akibat rasuah puratanya RM2.25 trilion sepanjang tempoh 26 tahun yang lalu.

Katanya, bagi memperoleh jumlah akhir sebanyak RM4.5 trilion, EMIR Research mengambil konsep ekonomi kesan pengganda bagi setiap sen yang disalurkan ke dalam ekonomi, sama ada oleh sektor awam atau swasta.

"Setiap sen yang disalurkan secara produktif pasti akan mencipta kekayaan yang meluas dalam ekonomi dan memberi manfaat kepada ramai orang. Pengganda-pengganda ini sentiasa lebih besar daripada satu!

"Oleh itu, dengan mengambil pengganda sekurang-kurangnya satu, kita boleh mencapai RM2.25 trilion × 2 = RM4.5 trilion, sebagai anggaran yang sangat konservatif bagi kos ekonomi keseluruhan akibat rasuah kepada masyarakat Malaysia," jelasnya.