X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga perkara selamatkan negara daripada pandemik

Hishammuddin
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, mencadangkan tiga perkara yang perlu difokuskan oleh kerajaan bagi mengeluarkan Malaysia daripada paradoks pandemik termasuk konsisten dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, perubahan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak perlu dan bersifat reaktif hanya akan merencatkan semua yang telah dicapai ketika ini.

Katanya, Malaysia harus mencari titik persamaan dalam mengimbangi kepentingan melindungi serta menyelamatkan nyawa dan membuka sektor ekonomi bagi menampung keperluan hidup.

"Selain itu, kita perlu mempertimbangkan secara serius untuk mempelbagaikan penggunaan jenis vaksin bagi meredakan kebimbangan rakyat.

"Setakat ini, Malaysia hanya meluluskan penggunaan Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca sedangkan banyak negara telah meluluskan vaksin lain dalam program vaksinasi mereka.

"Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan Johnson & Johnson, Moderna dan Sinopharm untuk kegunaan kecemasan di seluruh dunia. Pastinya mereka tidak salah,"katanya dalam artikel laman Blog H20 bertajuk Managing an Unprecedented Pandemik, pada Ahad.

Tambah Hishammuddin, memahami pihak berkuasa di negara ini perlu melakukan proses pengesahan dan penyiasatan secara teliti (due diligence), namun dalam berdepan situasi kini, Malaysia tidak boleh gunakan prosedur biasa.

"Agensi-agensi kita mesti bergerak seiring dengan badan antarabangsa dan pantas dalam menetapkan kelulusan kecemasan.

"Ramai rakan Malaysia di seluruh dunia turut menawarkan bantuan tetapi birokrasi menjadi penghalang utama," katanya.

Ujar beliau, tawaran bantuan tersebut seharusnya diterima dengan kesungguhan dan bukannya keengganan.

"Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul. Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar Negeri.

"Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa dan ini bukan risiko yang wajar kita ambil," katanya.

Hishammuddin turut mencadangkan agar ujian saringan Covid-19 dilakukan secara besar-besaran yang mana pakar kesihatan dan pemimpin politik turut mencadangkan perkara tersebut.

Beliau melihat cadangan tersebut mampu menyaring, mengesan dan mengasingkan dengan pantas individu yang dijangkiti untuk pengurusan wabak lebih baik di seluruh negara.

"Tetapi untuk mencapai ini, kita memerlukan rancangan meningkatkan keupayaan makmal kita, menghasilkan lebih banyak test kit atau memberi subsidi kepada orang ramai," jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!