X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwaan kutip derma, Pembela sedia bagi keterangan kepada PDRM

Aminuddin
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan dakwaan pihaknya membuat kutipan derma bagi membiayai wang ikat jamin kepada lima penghantar makanan.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin disembunyikan malah akan bersikap telus dengan semua pihak termasuk pihak polis yang telah mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menjalankan siasatan.

“Sebelum prosiding reman salah seorang daripada yang direman memaklumkan kepada peguam bahawa jika dituduh mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan wang jaminan.

“Kemudian kami telah dihubungi pihak Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia untuk membantu ahlinya.

“Sehubungan itu, kami terpanggil untuk membantu rider ini yang dijangka memerlukan wang jaminan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 seorang jika dituduh di mahkamah kelak. Ini merupakan anggaran berdasarkan prosedur biasa menurut peguam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, polis menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkaitan kutipan derma bagi membiayai wang jaminan lima penghantar makanan (rider).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lima penghantar makan tersebut ditahan polis dalam insiden melibatkan sensitiviti agama di Sungai Way pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif untuk menyalurkan kutipan tersebut bagi membiayai wang ikat jamin penghantar makanan berkenaan jika dituduh di mahkamah kelak.

Beliau berkata, selain menyediakan wang jaminan, kutipan itu juga akan digunakan untuk menanggung kos kerugian hilang pendapatan oleh rider berkenaan, bantuan kepada persatuan rider dan kebajikan keluarga rider yang terlibat.

“Peguam yang dilantik oleh Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Mohd Tajuddin Abdul Razak telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka menjalankan khidmat ini secara pro bono dan tidak akan mengambil sebarang yuran perkhidmatan ataupun perbelanjaan daripada mana-mana pihak.

“Kami juga dimaklumkan semua rider dijangka dilepaskan daripada tahanan reman hari ini (Ahad) dan pihak kami telah berhubung dengan wakil rider bagi menguruskan bantuan hasil kutipan yang dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan bantuan tersebut dari semasa ke semasa bagi menjamin ketelusan dan integriti Pembela.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!