13 PPV di Perak akan diaktifkan hujung Jun

Saarani diberikan taklimat mengenai pelaksanaan kawasan PKPD di tiga perkampungan di Lekir ketika melawat kawasan tersebut di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Tanjung Kepah pada Ahad.
Saarani diberikan taklimat mengenai pelaksanaan kawasan PKPD di tiga perkampungan di Lekir ketika melawat kawasan tersebut di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Tanjung Kepah pada Ahad.
A
A
A

LUMUT - Kerajaan Perak akan mengaktifkan baki 13 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula hujung Jun bagi mengoptimumkan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada penduduk di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, sehingga kini hanya 18 PPV beroperasi daripada 31 PPV yang telah disediakan di seluruh daerah.

Menurut beliau, pembukaan kesemua PPV tersebut hanya akan dibuat selepas bekalan vaksin yang diperoleh mencukupi.

"Semua persiapan di Perak cukup kerana kita telah membuat persiapan untuk 31 PPV. Pada waktu yang sama kita telah buat 'mobile outreach' untuk pergi ke seluruh kawasan luar bandar, kita sudah buat pandu lalu dan kita memberi kebenaran MajuPerak Holding beli vaksin dengan Pharmaniaga. Semua ini dapat dibuat dengan lebih pantas tertakluk kepada kecukupan vaksin.

"Ada lagi 13 (PPV) yang belum berfungsi, bukan kerana tidak cukup tenaga kerja tetapi untuk memastikan bekalan vaksin yang sampai itu mencukupi," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Batu 9 Lekir di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Tanjung Kepah di sini pada Ahad.

Saarani berkata, jika kesemua 31 PPV itu dapat berfungsi, seramai kira-kira 30,000 rakyat di negeri ini dijangka dapat divaksin sehari.

Tambahnya, sasaran imuniti kelompok untuk dicapai secepat mungkin bergantung kepada jumlah pendaftaran penerima vaksin, jumlah yang berdaftar tetapi belum menerima vaksin dan jumlah yang belum berdaftar untuk menerima vaksin.

"Dengan kemudahan yang disediakan seperti pengangkutan ke PPV bagi golongan sasaran akan meningkatkan jumlah penerima vaksin seperti yang disasarkan.

Artikel Berkaitan:

"Yang penting ialah kesediaan orang ramai untuk mengambil vaksin, lagi banyak PPV dan semakin hampir PPV dengan kediaman mereka, jadi sepatutnya tiada masalah untuk mereka dapatkan vaksin," katanya.

Sementara itu, Saarani yakin tempoh PKPD di tiga perkampungan di Lekir membabitkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong boleh ditamatkan lebih awal berdasarkan jumlah saringan dan kes positif baharu dilaporkan.

Pada lawatan berkenaan, Saarani turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 260 keluarga yang membabitkan 1,961 orang penduduk dikenakan PKPD.