Takiyuddin nafi cuba ‘alih tiang gol’

Ciapan Takiyuddin menerusi Twitter pada Sabtu.
Ciapan Takiyuddin menerusi Twitter pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan kerajaan cuba ‘mengalihkan tiang gol’ mengenai isu pelaksanaan tempoh darurat.

Beliau sebaliknya berkata, kerajaan hanya mahu memperbetulkan peraturan untuk 'membantu pengadil membuat keputusan yang tepat.'

“Tiada siapa yang alih tiang gol, yang dibuat adalah betulkan peraturan permainan supaya membantu pengadil buat pengadilan yang betul.

“Untuk mencapai matlamat tidak bermakna mengubah tiang gol,” katanya menerusi Twitter beliau pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kritikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said terhadap kenyataannya berhubung peranan kabinet dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan pelaksanaan darurat.

Susulan kenyataan Takiyuddin itu, Azalina berkata, kerajaan tidak seharusnya ‘mengalihkan tiang gol’ ketika penguatkuasaan perintah itu hampir berakhir.

Azalina yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, turut mempersoalkan keperluan menubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di Pertuan Agong di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021.

Sementara itu, membalas komen terbaharu daripada Takiyuddin itu, Azalina menerusi Twitternya pada Ahad secara tersirat berkata, tindakan mengetepikan peraturan sedia dalam sesuatu permainan merupakan tindakan yang tidak beretika.

Artikel Berkaitan:

“Semua orang bermain untuk menang. Tetapi untuk menang dengan segala cara tanpa mengira peraturan sedia ada adalah tidak beretika.

“Dengan mengubah peraturan di tengah permainan, anda mewujudkan permainan lain. Ini menjadikan ‘pengadil’ kelihatan buruk,” ujarnya yang turut menandakan (tag) Takiyuddin pada ciapan tersebut.