X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: 15 laluan ditutup di mukim Serada dan Bukit Besar

Abdul Rahim
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 15 laluan ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Serada dan Bukit Besar di sini bermula Ahad hingga 26 Jun.

Selain itu, polis turut melaksanakan lima sekatan jalan raya (SJR) di dua mukim berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, penutupan jalan dan SJR di dua mukim itu dilakukan bagi mengelakkan pergerakan keluar masuk kenderaan serta orang ramai di kawasan terlibat.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu akan menempatkan balai polis bergerak di kawasan PKPD bagi memudahkan penduduk di kawasan berkenaan mendapatkan sebarang maklumat atau bantuan hal-hal kecemasan sepanjang PKPD," katanya dalam satu kenyataan pada malam Sabtu.

Menurut kenyataan itu, antara laluan ditutup bagi mukim Bukit Besar ialah Jalan Budiman/Lorong Kenangan, Jalan Haji Abdul Rahman Limbong/Lorong Kenanga, bawah jejambat Tok Molor dan Jambatan Kampung Laut, manakala SJR melibatkan jalan masuk dan keluar Panji Alam di simpang Pengadang Akar dan jalan masuk dan keluar Pasir Panjang di Gong Kapas.

Sebanyak 11 jalan ditutup pula melibatkan mukim Serada iaitu jalan tepi sungai belakang Masjid Al-Mustaqqim, Jalan Binjai Berambu, Lorong Kubang Bujuk sebelum dan selepas Madrasatul Quran Kubang Bujuk (sebelah kiri), Jambatan Tok Hakim, Jambatan Kampung Cerana, Jambatan Banggol Kapas, Jambatan Surau Seri Pahlawan, Jambatan Banggol Pak Ali, Jambatan Padang Pak Kabar dan Kampung Tiruk, manakala SJR membabitkan Jalan Kepong.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, sebarang cubaan atau tindakan mengalih, mengubah, melanggar atau merosakkan penghadang jalan di kawasan PKPD boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, anggota polis akan membuat rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai untuk tujuan keluar masuk.

"Penduduk di mukim Serada dan Bukit Besar dinasihatkan supaya mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagi penduduk di 19 mukim lain yang ditamatkan PKPD semalam (Sabtu), mereka perlu mematuhi SOP Sekatan Pergerakan Penuh dan mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab urusan ditetapkan mengikut SOP," katanya.

Tambah beliau, sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan Pusat Kawalan Covid-19 IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322377.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!