X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Dr Mahathir cadang tubuh Majlis Pemulihan Negara ganti Mageran

Dr Mahathir Mohamad
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi menggantikan Majlis Gerakan Nasional (Mageran) yang ditubuhkan pada 1969.

Dr Mahathir berkata, tugas MPN adalah untuk mengurangkan peningkatan kes baharu Covid-19 sehingga mencapai imuniti kelompok (herd immunity) di negara ini.

Katanya, kewujudan majlis tersebut tidak menggantikan kerajaan sebaliknya memastikan keputusan-keputusan pelan tindakan bagi membantu rakyat dapat dilakukan tanpa melalui terlalu banyak proses birokrasi.

“Ahli-ahli majlis akan terdiri daripada pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu negara mengatasi krisis dan pakar pelaburan berpengalaman.

“Selain itu, turut terlibat adalah penggerak sosial yang terbukti keupayaan membantu rakyat ketika pandemik, tokoh-tokoh perundangan yang tidak partisan dan beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M bawa usul penubuhan Mageran ketika menghadap Agong

Pada 13 Mei 1969, kerajaan Perikatan menubuhkan Mageran bagi menangani masalah kekacauan yang dicetuskan oleh rusuhan di Kuala Lumpur.

Sejarah penubuhan Mageran pertama kalinya dilaksanakan apabila Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdul Razak Hussein dilantik sebagai pengerusi majlis berkenaan dan telah berjaya menyelesaikan masalah politik apabila mengajak parti lawan menyertai kerajaan, selain berkemampuan menstabilkan isu politik dan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, MPN akan lapor secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, jika Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu menerima cadangan penubuhan MPN, nama-nama ahli majlis akan dipersembahkan untuk perkenan.

“Ahli-ahli majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu.

“Mereka perlu menganggap pelantikan mereka sebagai satu khidmat negara atau national service,” ujarnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, MPN hanya menyentuh empat perkara termasuk masalah kemerosotan ekonomi, kewangan, politik serta masalah persekolahan.

Jelasnya, kerajaan boleh menangani urusan-urusan lain selagi mana tidak menyentuh perkara tersebut.

-Tamat-


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!