X

Kindly register in order to view this article
!

Enam syarikat, tiga individu langgar SOP dikompaun

Notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal mematuhi SOP.
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak enam syarikat dan tiga individu dikenakan tindakan kompaun oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kesalahan melanggar syarat lesen dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Unit Media DBKL berkata, semua kompaun tersebut dikeluarkan menerusi satu tindakan khas oleh Jabatan Penguatkuasaan (JPK) mengikut bidang kuasa DBKL dan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Jumaat.

Menurutnya, enam pemilik syarikat didapati gagal mematuhi SOP PKP apabila tidak mematuhi waktu operasi premis perniagaan yang ditetapkan manakala tiga individu dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka.

“Selain itu, sembilan notis kompaun dikeluarkan menerusi Peraturan 16, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” kata DBKL dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Pada operasi sama, DBKL turut mengenakan kompaun ke atas pemilik syarikat yang menggajikan pekerja asing serta premis yang gagal mempamerkan lesen perniagaan.

“Satu notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis kerana menggajikan pekerja tanpa kebenaran yang sah di bawah UUK 20(1)(b), Undang-undang Kecil Pelesenan dan Tred 2016.

“Satu notis kompaun lagi dikenakan terhadap sebuah premis yang gagal pamer lesen melalui Seksyen 107(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu DBKL berkata, tindakan menunda sebuah kenderaan yang membuat halangan di bawah Kaedah 12(4), Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 turut dilaksanakan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!