Disangka bunyi mercun, rupanya tembakan

Dua kesan tembakan mengenai cermin pondok pengawal.
Dua kesan tembakan mengenai cermin pondok pengawal.
A
A
A

IPOH - Seorang pengawal keselamatan nyaris terkena tembakan dilepaskan dua lelaki menunggang motosikal dalam satu kejadian di sebuah restoran yang sedang dalam pembinaan di Jalan Tambun, pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 5.50 pagi itu berlaku ketika pengawal berkenaan, A Paskanathen, 67, sedang bertugas menjaga premis terbabit.

Ketika ditemui, Paskanathen berkata, dia berada dalam pondok pengawal sebelum mendengar bunyi kuat seakan mercun.

Dia yang segera keluar untuk membuat pemeriksaan terkejut apabila melihat dua lelaki menunggang motosikal dengan seorang daripada mereka memegang peralatan seakan pistol.

"Bila saya keluar dari pondok, mereka cepat-cepat beredar, tetapi saya sempat nampak lelaki yang duduk belakang pegang satu benda macam pistol.

"Saya jadi cemas dan takut sebab pistol itu diarah ke pondok pengawal," katanya.

Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui kesan retak dan berlubang pada cermin pondok pengawal berkenaan.

Paskanathen yang bertugas secara bergilir pada jam 7 malam hingga 7 pagi berkata, Rabu lalu, cermin yang sama juga terkena tembakan dengan kesan lubang yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah kejadian ketiga melibatkan kesan tembakan di premis ini. Kejadian pertama pada 5 Februari lalu melibatkan cermin pejabat yang pecah dan ada kesan lubang.

"Kejadian ketiga ini benar-benar menakutkan saya, habis bulan ini saya ingat nak berhenti kerja," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Asisten Komisioner Anuar Othman mengesahkan kejadian.

Katanya, siasatan dibuat dibawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah.