X

Kindly register in order to view this article
!

Tik Tok lahir jutawan muda

Majoriti pengguna Tik Tik adalah Gen Z yang lahir antara 1997 hingga 2012.
A
A

[INFOGRAFIK] Akhir-akhir ini, aplikasi Tik Tok nampaknya semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ramai mula menggunakannya sebagai platform untuk berkongsi kreativiti dan menyampaikan mesej, sekali gus menginspirasi orang lain.

Aplikasi berkenaan bukan sahaja digunakan oleh orang awam, malah selebriti popular juga menggunakannya.

Penggunaannya dilaporkan meningkat sehingga jumlah muat turunnya melebihi 2 bilion manakala pengguna aktifnya mencecah 689 juta.

Sebanyak 69 peratus penggunanya adalah golongan remaja berusia antara 16 hingga 24 tahun yang mana 56 peratus adalah lelaki manakala selebihnya wanita.

Mereka itu rata-ratanya adalah golongan Generasi Z atau Gen Z yang lahir antara 1997 hingga 2012.

Tik Tok merupakan aplikasi perkongsian video sosial yang diperkenalkan oleh syarikat teknologi Internet dari China iaitu ByteDance pada 2016.

Ia menggunakan nama Douxin di China manakala Tik Tok pula digunakan di peringkat antarabangsa.

Aplikasi berkenaan yang mencapai kestabilan pada Mac 2020 boleh didapati di lebih 200 negara.

Malah, ia juga dikeluarkan dalam 40 versi bahasa yang berbeza termasuk Bahasa Melayu.

Macam juga media sosial lain, Tik Tok bukan sahaja digunakan untuk bersosial di alam maya, pada masa sama ia juga digunakan untuk menjana pendapatan.

Dengan memuat naik video pendek, penggunanya atau pencipta Tik Tok boleh menjana pendapatan bergantung kepada berapa ramai pengikut masing-masing.

Mereka itu sentiasa menjadi buruan pengiklan untuk meningkatkan kempen pemasaran produk yang dikeluarkan.

Susulan itu, muncul ramai jutawan muda di seluruh dunia yang terkenal dalam mencipta dan menyajikan kandungan kepada orang ramai.

Salah seorang pencipta Tik Tok berkenaan ialah Addison Rae yang meraih pendapatan AS$5 juta (RM20.6 juta) pada tahun lalu hasil kerjasamanya dengan beberapa jenama terkenal.

Menurut majalah Forbes, Addison adalah salah seorang daripada tujuh jutawan muda yang lahir daripada Tik Tok.

Banyak pengiklan cenderung bekerjasama dengan pencipta Tik Tok kerana aplikasi tersebut membantu mereka mencapai sasaran perniagaan dengan mudah.

Mereka memilih aplikasi berkenaan kerana jumlah muat turunnya melebihi 2 bilion, boleh didapati di 200 negara dan mempunyai pengguna aktif lebih 600 juta.

Selain itu, jumlah masa yang lama dihabiskan penggunanya juga memainkan peranan penting yang menentukan pemilihan aplikasi berkenaan dalam kalangan pengiklan.

Laman web Iconsquare melaporkan, sebanyak 90 peratus pengguna Tik Tok menggunakan aplikasi berkenaan setiap hari.

Mereka menghabiskan lebih sekitar 53 minit mengadap aplikasi berkenaan sama ada melayarinya atau memuat naik kandungan, jelas laman web itu.

Atas sebab itu, pada tahun lalu Tik Tok berjaya menjana pendapatan sehingga AS$1.4 bilion (RM5.7 bilion).

Sebanyak 72.3 peratus daripada pendapatan tersebut dilaporkan datang dari China manakala selebihnya dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara lain di serata dunia.

Di Malaysia, pengguna Tik Tok dilaporkan mencecah ke angka 4 juta yang mana majoritinya adalah individu dalam kelompok usia 30 tahun dan ke bawah.

Dalam kalangan mereka, ada juga yang membuat duit menggunakan aplikasi berkenaan namun tiada data ditemui mengenai perkara tersebut kecuali jumlah pengikut.

Salah seorang daripada mereka ialah Aeril Zafril, Baby Shima dan Nora Danish yang dilporkan mempunyai lebih 1 juta pengikut.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kandungan dan Pengguna Tik Tok Malaysia, Cheah Sheua Mei berkata, Tik Tok telah menyatukan orang ramai untuk menginspirasi satu sama lain selain berkongsi momen gembira.

Tambahnya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pihaknya telah menyaksikan perkara tersebut dan merasakan ia menghubungkan antara satu sama lain sebagai satu komuniti.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!