X

Kindly register in order to view this article
!

‘Ibarat mahu jual negara’

Seorang pegawai JPN Pulau Pinang dan seorang lelaki bergelar Datuk antara enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown pada 12 September 2019, atas 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing palsu dan diubah suai.
A
A

PUTRAJAYA - Kegiatan pemalsuan kad pengenalan atau MyKad menjadi kes yang amat membimbangkan ketika ini.

Apa tidaknya, penyalahgunaan identiti warganegara Malaysia itu dilihat bebas digunakan bukan sahaja oleh warga asing malah dibimbangi turut jatuh ke tangan penjenayah.

Pada tahun 2019, kerajaan didesak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dalang utama yang terlibat memalsu, termasuk bersubahat memberikan MyKad kepada warga asing.

Malah, ada juga cadangan yang mahu kerajaan menaik taraf MyKad dengan ciri-ciri keselamatan lebih canggih.

RUSLIN
RUSLIN

Mendedahkan lebih lanjut tentang isu berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kegiatan ini jika dibiarkan ibarat seperti mahu menjual negara.

“Kita mengenal pasti tiga modus operandi utama berkaitan kes sedemikian buat masa ini.

“Pertama, pemalsuan kad pengenalan yang melibatkan aktiviti mencetak permukaan kad pengenalan dengan maklumat palsu lebih kepada tujuan untuk memiliki dokumen pengenalan diri yang sah termasuk memohon mendapatkan peluang pekerjaan. Lazimnya tindakan ini dilakukan oleh warga asing bagi membolehkan mereka dapat tinggal di negara ini tanpa permit.

“Kedua ada pihak menggunakan kad pengenalan milik orang lain dengan tujuan mendapatkan kemudahan dan keistimewaan sama seperti warganegara seperti pendidikan, perubatan dan pekerjaan.

“Dan ketiga penglibatan sindiket dibantu kakitangan JPN sendiri membekalkan MyKad asli yang membabitkan pelanggaran integriti, penyalahgunaan kuasa dan penglibatan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Warga asing dalang sindiket

Beliau berkata, melalui siasatan dan tangkapan yang telah dibuat, rangkaian sindiket ini didalangi oleh warga asing sendiri.

Tanpa mendedahkan warga asing dari negara mana yang terlibat, Ruslin menjelaskan, hasil daripada siasatan JPN, sindiket terlibat meletakkan harga di antara RM100 hingga RM2,000 bagi setiap keping MyKad yang dijual.

Katanya, berdasarkan rekod statistik yang dilaporkan sejak tahun 2019 hingga April tahun ini, seramai 200 individu termasuk 10 warga tempatan telah didakwa dipercayai terlibat dalam jenayah pemalsuan kad pengenalan.

Jelasnya, mengikut pecahan tahun iaitu pada tahun 2019, seramai 115 individu yang didakwa di mahkamah terdiri daripada 95 warga Filipina, Indonesia (18), China (1) dan Pakistan (1).

“Sepanjang tahun 2020 pula merekodkan seramai 52 individu telah didakwa melibatkan 20 warga Filipina, Indonesia (26), Pakistan (4) dan dua warga tempatan.

“Bagi tempoh empat bulan bermula Januari tahun ini, JPN merekodkan 33 individu telah didakwa dengan 18 suspek yang ditahan adalah warga Filipina, Indonesia (7) dan lapan warga tempatan,” katanya.

Gugat keselamatan negara

Ruslin berkata, jenayah ini mampu menggugat kepercayaan rakyat terhadap JPN selaku peneraju terunggul pengurusan rekod penduduk negara.

“JPN juga tahu sekiranya jenayah ini tidak dibendung, keselamatan negara tergadai,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa ciri-ciri keselamatan yang ada pada MyKad tidak sama dengan kad pengenalan palsu.

“Kebanyakan sindiket yang telah dikenal pasti ini hanya mengubah dan memalsukan maklumat pada atas kad sahaja.

“Bagaimanapun JPN sentiasa bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan untuk mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan yang ada pada kad pengenalan,” katanya.

Tiada kompromi

Tegas Ruslin, JPN sama sekali tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang melibatkan kakitangan JPN dalam kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah seperti mengeluarkan dokumen secara tidak teratur.

“JPN akan memastikan pegawai yang terlibat dengan kes jenayah berkaitan akan diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan perundangan yang terbabit jika didapati bersalah.

“JPN juga sentiasa bekerjasama penuh dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau apa jua agensi lain jika didapati ada pegawai JPN yang terlibat dalam salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, JPN sentiasa mengingatkan pegawai dan kakitangannya supaya sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti bagi memastikan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh JPN diperoleh oleh warganegara sahaja.

“Mana-mana individu yang telah ditahan boleh dituduh di mahkamah di bawah Peraturan 25, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan jika didapati bersalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sanggup tipu elak didenda

Ruslin mengakui, ramai yang membuat laporan polis palsu kononnya kad pengenalan hilang bagi mengelak dikenakan denda oleh JPN

“Kerajaan telah menetapkan kadar bayaran denda hilang yang tinggi disebabkan kebanyakannya hilang akibat kecuaian pemilik kad pengenalan itu sendiri.

“Ini adalah untuk memastikan kad pengenalan dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh setiap pemilik kad pengenalan.

“Tindakan kerajaan ini bukanlah untuk membebankan rakyat tetapi untuk memberi warganegaranya lebih bertanggungjawab dalam menjaga dokumen pengenalan diri masing-masing,” jelasnya.

Ruslin dalam pada itu turut menyeru orang ramai memberikan kerjasama termasuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki atau mempunyai apa-apa maklumat tentang kegiatan melibatkan pemalsuan kad pengenalan.

“Sebarang maklumat yang disalurkan sedikit sebanyak dapat membantu JPN untuk membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa.

“Orang ramai boleh membuat laporan atau menghubungi pihak berkuasa apabila mengetahui sesuatu penyalahgunaan dokumen berlaku,” katanya.

Pengkhianatan terhadap negara

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap individu mahu pun kakitangan kerajaan yang bersekongkol dengan sindiket pemalsuan kad pengenalan.

AZAM
AZAM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya mengalu-alukan laporan berkenaan kes sedemikian daripada mana-mana pihak untuk tindakan lanjut.

“Kita (SPRM) akan lihat dan meneliti bagaimana individu terlibat membantu pihak luar mendapatkan kad pengenalan atau MyKad.

“Ini adalah satu tindakan pengkhianatan kepada negara dan mereka yang terlibat akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Azam berkata, kes pemalsuan kad pengenalan ini adalah isu integriti yang serius melibatkan pegawai kerajaan.

“Mereka perlu tahu sekiranya terlibat dengan sindiket, itu bermakna mereka telah menjual kedaulatan negara.

“Sekiranya tertangkap, saya gesa mahkamah jatuhkan hukuman paling berat kepada pesalah,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya tertangkap, SPRM akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 16, Seksyen 17 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

INFO

Kronologi kes tangkapan penyalahgunaan Mykad palsu

31 Januari 2018

SANDAKAN - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri yang bergerak aktif di pantai timur Sabah dengan menyasarkan warga asing terutama Filipina, Indonesia dan Pakistan.

Ia berikutan penahanan dua suspek utama dalam operasi sejak minggu lalu dengan suspek pertama iaitu wanita berumur 52 tahun ditahan di kediamannya di kawasan perindustrian Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Batu 2 1/2, di sini.

Pegawai JPN sedang merekod dan memeriksa Mykad palsu yang dirampas dari pelaku
Pegawai JPN sedang merekod dan memeriksa Mykad palsu yang dirampas dari pelaku

9 September 2019

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berhubung isu kewarganegaraan kepada rakyat asing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, laporan pertama dibuat terhadap penularan kes lima MyKad didakwa milik warganegara China.

12 September 2019

KUALA LUMPUR - Polis menahan sekurang-kurangnya 20 individu terlibat dalam kegiatan menjual MyKad menggunakan butiran individu yang sudah meninggal dunia, disyaki didalangi seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamad berkata suspek yang ditahan di Pulau Pinang terdiri daripada 15 lelaki dan 2 wanita tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga India.

12 September 2019

GEORGETOWN - Seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan seorang lelaki bergelar Datuk antara enam lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Georgetown atas 32 pertuduhan melibatkan sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing palsu dan diubah suai.

2 Mei 2020

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat kes pemalsuan MyKad bagi memburu dalang terlibat

21 April 2021

KUALA LUMPUR - Lapan lelaki Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan menggunakan kad pengenalan palsu ditahan dalam Operasi Terancang di Stadium Merdeka.

5 Mei 2021

KUALA LUMPUR - Sembilan lelaki warga Filipina yang bekerja sebagai pengawal keselamatan disyaki menggunakan kad pengenalan palsu ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam Operasi Terancang dan Kutip di sekitar ibu negara.

Tindakan undang-undang

Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990

Hukuman: Dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Statistik suspek yang didakwa

TAHUN 2019

FILIPINA - 95 orang

INDONESIA - 18 orang

CHINA - 1 orang

PAKISTAN - 1 orang

JUMLAH - 115 orang

TAHUN 2020

FILIPINA - 20 orang

INDONESIA - 26 orang

MALAYSIA - 2 orang

PAKISTAN - 4 orang

JUMLAH - 52 orang

TAHUN 2021 (JANUARI-APRIL)

FILIPINA - 18 orang

INDONESIA - 7 orang

MALAYSIA - 8 orang

JUMLAH - 33 orang


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!