X

Kindly register in order to view this article
!

Sheng Tai International ambil alih 110 barisan pengeluaran KenTeam

Majlis menandatangani perjanjian antara Sheng Tai International dan KenTeam serta disaksikan Mohd Redzuan (atas kanan).
A
A

SYARIKAT pemaju hartanah, Sheng Tai International Sdn Bhd sekali lagi memeterai memorandum perjanjian (MoA) secara eksklusif dengan syarikat pengilang sarung tangan lateks dan nitril utama di Malaysia, KenTeam International Sdn Bhd.

Perjanjian tersebut membolehkan Sheng Tai International mengambil alih 110 barisan pengeluaran daripada hab sarung tangan KenTeam International seluas 36 hektar di Jasin, Melaka bagi tujuan mencipta, memasang dan membina.

Kapasiti pengeluaran yang dijangkakan bagi setiap satu barisan pengeluaran adalah sebanyak tiga juta kotak setahun dengan keseluruhannya 330 juta kotak bagi kesemua 110 barisan pengeluaran.

Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, perkongsian tersebut merupakan satu pencapaian besar bagi syarikatnya sekali gus membuka ruang dalam industri pembuatan sarung tangan nitril untuk berkembang pesat walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Kami yakin keputusan untuk menceburkan diri ke dalam industri sarung tangan nitril bukan sahaja bakal membawa perolehan positif kepada Sheng Tai International malah mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menjaga kesejahteraan negara, terutama dari segi ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian bersama KenTeam International, diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Justin Lim secara maya pada Jumaat.

Turut menyaksikan majlis bersejarah tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Mengulas lanjut, Leong berkata, industri sarung tangan nitril bakal mencecah RM38.7 bilion menjelang tahun 2027.

“Ia ditambah pula dengan kadar pertumbuhan kompaun tahunan (CAGR) sebanyak 13.8 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2027,” katanya yang turut memetik laporan Kajian Precedence bertajuk 'Nitrile Gloves Market Size, Share, Growth Outlook, Trends, Analysis, Segment Forecasts, Regional Insights and Forecast 2020-2027'.

Sehubungan itu, beliau berkata, Sheng Tai International akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri Melaka selain mewujudkan kerjasama strategik dengan jenama antarabangsa.

“Ia juga bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan komuniti di kawasan sekitar terutama dalam tempoh negara berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Justin berkata, Sheng Tai International akan membangunkan sepenuhnya projek tersebut yang dijadualkan bermula pada awal Julai ini.

“Secara keseluruhan, projek ini dijangka akan selesai dalam tempoh 18 bulan dan sebahagian besar produk akan digunakan untuk pasaran eksport.

“Setakar ini kita mendapat permintaan sarung tangan dari Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah,” katanya.

Pada majlis sama, Mohd Redzuan turut menzahirkan ucapan tahniah di atas inisiatif yang diambil oleh kedua-dua syarikat tersebut kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan permintaan sarung tangan di dalam negara bahkan juga di luar negara.

“Kita juga dapat membuktikan bahawa ekonomi dapat berjalan dengan baik meskipun negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!