PSM, bekas ahli gabungan komited cari penyelesaian: Pesuruhjaya Sukan

Kenyataan media PJS pada Jumaat.
Kenyataan media PJS pada Jumaat.
A
A
A

PESURUHJAYA Sukan (PJS) mengambil maklum keputusan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mengekalkan hukuman menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan ASTAF.

Menurut PSJ, ASTAF mempunyai bidang kuasa tersebut sebagai badan kawal selia sukan sepak takraw rantau Asia/ Ocenia manakala ahli gabungan mempunyai obligasi mematuhi peraturan, perlembagaan atau undang-undang ASTAF

"Perbincangan bersama-sama pihak PSM dan wakil G11 telah diadakan pada Rabu secara dalam talian. Perbincangan tersebut berjalan dengan lancar dalam suasana yang amat harmoni.

"Kedua-dua pihak amat komited dan bersatu hati untuk mencari penyelesaian dalam kemelut ini. Mereka juga teruja melakukan pembaharuan demi kepentingan serta kelangsungan pembangunan sukan sepak takraw, seterusnya memastikan badan induk sukan sepak takraw diterima semula sebagai ahli gabungan ASTAF.

"Semua pihak bersepakat bahawa langkah penyelesaian hendaklah teratur mengikut proses-proses berdasarkan perundangan dan perlembagaan; iaitu Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), Perlembagaan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF)," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Menurut PJS lagi, PSM dan G11 juga bersetuju dengan langkah-langkah remedi yang dirangka oleh PJS, dan hendaklah dilaksana dengan segera dalam mencapai matlamat itu.

PJS telah diberi amanah untuk menerajui semakan semula perlembagaan PSM.

Bagi tujuan tersebut jelas PJS lagi, satu pasukan petugas telah dibentuk yang turut melibatkan kedua-dua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama dan semangat berpasukan ini amat perlu bagi menyediakan asas tadbir urus badan sukan induk sepak takraw yang berintegriti, telus dan adil, seterusnya mengembalikan semula keyakinan penggiat-penggiat sepak takraw dan rakyat terhadap sukan warisan ini.

"PJS akan terus melaksana tanggungjawab sebagai perantara kepada PSM dan G11, bersedia memberikan khidmat nasihat dan panduan terutamanya dalam penambahbaikan perlembagaan, struktur jawatankuasa tertinggi serta sentiasa memantau kemajuan proses remedi bersama-sama pihak PSM dan G11.

"Insya-ALLAH kemelut ini akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.