Polis akan panggil 50 juri selebriti rancangan hiburan

Siasatan awal mendapati penggambaran rancangan hiburan berkenaan diadakan di PICC.
Siasatan awal mendapati penggambaran rancangan hiburan berkenaan diadakan di PICC.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis akan memanggil 50 juri selebriti dalam sebuah rancangan hiburan terbitan syarikat penyiaran swasta susulan dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Fadzil Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang individu pada jam 5.55 petang, Selasa

"Laporan polis berkenaan diterima daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan mendakwa program tersebut telah melanggar SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.

"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No. 3) 2021 [P.U. (A) 98/2021] kerana tidak mematuhi SOP PKPP dengan tidak memakai pelitup muka di tempat awam; dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan (akta 574) iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan awal mendapati penggambaran rancangan hiburan berkenaan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Rancangan tersebut dijalankan pada 3 Mac 2021 hingga 11 April 2021 dengan merujuk SOP Sektor Industri Kreatif - Acara Langsung (PKPP) yang sedang berkuat kuasa pada ketika itu.

"Penerbit program mematuhi SOP PKPP yang membenarkan rakaman berlangsung dengan kehadiran penonton tidak melebihi 50 peratus kapasiti serta mematuhi SOP berkaitan saringan kesihatan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal," katanya.

Menurutnya, pihak yang terlibat termasuk 50 orang juri selebriti akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk tindakan selanjutnya dan kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan selesai.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihat untuk terus kekal mematuhi SOP PKP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Ini merupakan usaha mencegah dan memutuskan rantaian penularan jangkitan pandemik Covid-19 dan dalam masa sama orang ramai diminta tidak mensensasikan fakta atau isu berkenaan kes ini," katanya.

Pada Ahad, tular di laman sosial berupa video yang merupakan program rancangan hiburan TV pencarian bakat terbaru terbitan sebuah syarikat penyiaran swasta.

Video tersebut mengundang perhatian ramai selepas 50 orang juri terdiri daripada selebriti terkenal tanah air yang dirakamkan dalam satu lokasi tanpa memakai pelitup muka.