X

Kindly register in order to view this article
!

Mageran menolak amalan demokrasi

Parlimen Malaysia.
A
A

SHAH ALAM – Cadangan diutarakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Majlis Gerakan Negara (Mageran) hanya mengangkat kelompok elitas untuk berkuasa dan mengawal negara dengan menolak amalan demokrasi.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Aizuddin Ariffin berkata, cadangan dibuat bekas Perdana Menteri itu seharusnya ditolak.

“Mageran pada dasarnya berperanan untuk memastikan ketenteraman awam, memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

“Penubuhan Mageran 1969 adalah perlu ketika itu bagi menangani permasalahan yang timbul rentetan daripada tragedi selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan menyelesaikan isu kesenjangan ekonomi.

“Berbeza dengan senario sekarang, alasan untuk penubuhan Mageran pada saat krisis kesihatan yang negara alami adalah berbeza dengan fungsi asal Mageran 1969,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dr Mahathir dilapor telah membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Mageran bagi menangani krisis-krisis yang sedang melanda negara.

Dr Mahathir turut menyenaraikan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis.

Mengulas lanjut, Aizuddin turut menyelar kenyataan Dr Mahathir bahawa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada solusi untuk menangani isu sekarang.

“Kenyataan Dr Mahathir tidak lain tidak bukan bertujuan memberi imej negatif kepada Anwar. Ini bukan kali pertama.

“Ternyata Dr Mahathir terdesak tatkala rakyat semakin yakin dengan kepimpinan Anwar dan rakyat tidak lagi percaya kepada Dr Mahathir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik kenyataan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) agar Parlimen kembali dibuka dan darurat ditamatkan segera.

“Bagi menangani kemelut yang melanda baik segi ekonomi, pentadbiran, politik serta sosial, amalan demokrasi harus dilaksana dengan baik,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN Tun M bawa usul penubuhan Mageran ketika menghadap Agong


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!