Kilang hasil vape tipu proses makanan diarah tutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang dipercayai beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) antara dua buah kilang yang diarahkan tutup dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tindakan kilang tersebut dikesan selepas pemantauan dijalankan di kilang tersebut pada minggu lalu.

"Menerusi pemantauan SOP PKP 3.0 Fasa Pertama terhadap operasi kilang yang dijalankan, kita berjaya mengesan dua buah kilang yang didapati melanggar syarat PKP 3.0, salah satunya dikesan beroperasi tanpa kebenaran MITI.

"Salah sebuah kilang lagi dikesan beroperasi selain daripada kelulusan yang diberikan oleh pihak MITI. Menerusi surat kebenaran yang diberikan menyatakan kilang tersebut memproses makanan sebaliknya ia menghasilkan bekas untuk vape, jadi tindakan lanjut kita arahkan kedua-dua kilang ini supaya ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pemantauan SOP PKP 3.0 Fasa Pertama terhadap operasi kilang di sini pada Jumaat.

Katanya, setakat ini terdapat 48 kilang telah diperiksa menerusi pemantauan SOP PKP 3.0 Fasa Pertama yang dijalankan.

"Setakat ini jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak RM10,000.

"Pemantauan sememangnya dijalankan secara berterusan bagi memastikan semua pihak mematuhi ketetapan sepanjang PKP 3.0 ini, dan IPD Shah Alam sendiri mempunyai pasukan pemantau yang akan melakukan pemeriksaan dan tinjauan pematuhan SOP ini," katanya.

Artikel Berkaitan: