PKR dakwa ada ahli Parlimen guna nama Agong untuk peroleh sokongan

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa terdapat usaha yang dilakukan oleh beberapa ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti politik negara untuk mendapatkan sokongan melalui perakuan berkanun (SD) bagi tujuan menyandang jawatan dalam kerajaan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, difahamkan ahli-ahli Parlimen tersebut berbuat demikian dengan mendakwa mereka telah mendapat kebenaran daripada Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“PKR mendapat maklum dan menzahirkan kebimbangan tentang khabar yang sedang tersebar bahawa beberapa ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan kepimpinan utama parti mereka sedang berusaha mendapatkan SD bagi meraih sokongan ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan jawatan di dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.

“Parti turut difahamkan bahawa ahli-ahli Parlimen ini berbuat demikian dengan dakwaan kononnya mereka telah mendapat ‘restu’ Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Fahmi berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip raja berperlembagaan, PKR percaya bahawa dakwaan ‘restu’ ini adalah tidak benar sama sekali dan merupakan satu percubaan jelek untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKR mengambil pendirian nama Yang di-Pertuan Agong tidak patut diguna sebagai helah untuk meraih sokongan ahli Parlimen lebih-lebih lagi jika sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang hala tuju kepimpinan negara kita ketika ini.

Artikel Berkaitan: