X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Sekolah di Thailand dibuka semula mulai Isnin

Sesi persekolahan di Thailand dibuka semula pada 14 Jun ini selepas dua kali ditunda berikutan peningkatan kes Covid-19. - Foto AP
A
A

BANGKOK - Sekolah di Thailand akan mula dibuka semula pada Isnin (14 Jun) selepas sesi baharu persekolahan ditunda sebanyak dua kali tahun ini berikutan peningkatan kes Covid-19.

Sesi persekolahan sepatutnya dibuka pada 17 Mei lalu kemudian ditunda kepada 1 Jun sebelum ditunda sekali sehingga 14 Jun.

Menteri Pendidikan, Treenuch Thienthong berkata, kementerian telah mengarahkan semua sekolah membuat persiapan dan menyesuaikan sistem pembelajaran untuk memastikan persekitaran yang selamat.

Beliau berkata, sekolah mempunyai beberapa pilihan kaedah pembelajaran termasuk secara bersemuka, dalam talian, melalui program televisyen satelit, bahan pembelajaran dihantar ke rumah pelajar atau melalui aplikasi mudah alih.

"Sekolah yang memilih pembelajaran bersemuka (menghadiri kelas secara fizikal) mesti mengutamakan keselamatan pelajar dan menyediakan kemudahan yang diperlukan seperti tempat mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan sosial.

"Pihak sekolah juga disaran mengajar mengenai virus Covid-19," katanya seperti dipetik The Nation.

Treenuch berkata, setakat ini lebih 70 peratus daripada 33,000 guru dan kakitangan sekolah di Bangkok dan wilayah berdekatan telah disuntik vaksin Covid-19.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Apisamai Srirangsan berkata, sekolah yang berada di kawasan sekatan pergerakan penuh atau 'zon merah gelap' iaitu Bangkok, Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan hanya pembelajaran secara dalam talian dibenarkan.

“Sesi bersemuka dilarang di kawasan (zona merah gelap). Pelajar akan belajar melalui platform media yang disediakan pihak sekolah,” katanya pada taklimat harian Covid-19 pada Khamis.

Sejak 24 jam lalu, Thailand mencatat 2,310 kes baharu Covid-19 dan 43 kematian menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 187,538 dengan 1,375 orang meninggal dunia. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!