Mageran 2.0 solusi tuntas tangani tri-krisis

Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub
A
A
A

SHAH ALAM - Veteran UMNO berpandangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) 2.0 pada ketika ini adalah satu solusi tuntas bagi memastikan kerajaan lebih efisien menangani tri-krisis mencakupi aspek kesihatan, politik dan ekonomi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, penubuhan Mageran 2.0 tidak boleh dilihat tertumpu kepada peristiwa yang membabitkan kekacauan dan rusuhan sebagaimana terjadi pada 13 Mei 1969, namun boleh diaktifkan mencakupi soal keselamatan nyawa, kesihatan dan sosial.

Jelas beliau, Mageran 2.0 membolehkan pengurusan krisis di setiap bidang bermasalah iaitu ekonomi, politik dan kesihatan diterajui oleh tokoh individu yang pakar seperti pakar ekonomi dan kesihatan dilantik bagi menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan.

"Tiada masalah hendak tubuhkan Mageran 2.0 ketika ini kerana kita mempunyai banyak tokoh individu yang pakar dalam pelbagai dan memahami isu semasa negara walaupun berada di luar kepompong parti politik.

"Negara sebenarnya memerlukan hanya sebilangan kecil mereka yang bijak pandai dalam hal kesihatan, ekonomi dan pentadbiran untuk menguruskan negara.

"Rakyat juga akan dapat melihat pengurusan yang lebih teratur, tersusun dan bermanfaat besar kerana ia ditunjangi pakar dan mereka yang mahir dalam bidang masing-masing," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sejarah penubuhan Mageran pertama kalinya dilaksanakan pada tahun 1969 apabila Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdul Razak Hussein dilantik sebagai pengerusi majlis berkenaan dan telah berjaya menyelesaikan masalah politik apabila mengajak parti lawan menyertai kerajaan, selain berkemampuan menstabilkan isu politik dan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipengerusi Tun Abdul Razak ditubuhkan pada darurat tahun 1969.
Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipengerusi Tun Abdul Razak ditubuhkan pada darurat tahun 1969.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pagi Khamis telah membawa usul penubuhan sebuah pasukan khas seumpama pembentukan Mageran 1969 bagi menangani tri-krisis dihadapi negara ketika ini sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al'Mustafa Billah Shah.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu turut menyenaraikan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini iaitu kesihatan, ekonomi, kewangan dan politik yang diyakini mampu diatasi dengan penubuhan Mageran.

Lebih menarik, Dr Mahathir turut mendedahkan cadangan itu tidak ditolak Tuanku Al-Sultan Abdullah sewaktu dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong itu menitahkan adalah lebih baik cadangan penubuhan Mageran 2.0 datangnya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M bawa usul penubuhan Mageran ketika menghadap Agong