X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu Toyota Vellfire mabuk rempuh SJR ditahan

Kereta lelaki berkenaan turut mengalami kerosakan.
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini malam Rabu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, lelaki berusia 57 tahun yang memandu kenderaan jenis Toyota Vellfire itu datang dari arah Georgetown menuju ke Bayan Lepas dikatakan memandu secara merbahaya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki itu telah melanggar kon keselamatan pertama yang dipasang dan diseret hingga sampai ke tepi khemah petugas keselamatan.

Menurutnya, ketika kejadian seramai 15 anggota keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan Rela sedang bertugas di SJR berkenaan namun kesemua petugas tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Anggota yang bertugas terkejut mendengar bunyi dentuman dan selepas kenderaan terbabit berhenti, polis bertindak menahan lelaki berkenaan.

"Hasil ujian penafasan yang dibuat mendapati lelaki terbabit di bawah pengaruh alkohol dengan kandungan bahan itu melebihi had yang dibenarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Soffian berkata, disebabkan kejadian itu beberapa peralatan seperti papan tanda SJR, kon keselamatan dan lampu beacon rosak.

"Semakan dibuat mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun pernah menerima 38 saman yang kebanyakan disebabkan kesalahan memandu laju.

"Bagaimanapun, kesemua saman berkenaan telah dibayar," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman dua hari untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 45(A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu tambahnya, lelaki berkenaan turut akan disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 26 (2) Akta Polis.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!