X

Kindly register in order to view this article
!

Edar dadah di kawasan kubur

A
A

KUALA LUMPUR - Polis Sentul menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai didalangi warga tempatan dengan tertangkapnya tiga beradik dan dua individu lain dalam serbuan berasingan di sebuah flat kos rendah di Jinjang dan kawasan perkuburan di Sentul di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan pertama melibatkan tangkapan seorang lelaki berusia awal 30an dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah di kawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh suspek telah menjumpai dadah jenis kanabis seberat 230 gram yang dipercayai untuk dijual kepada pelanggan di flat tersebut.

"Susulan tangkapan tersebut, suspek telah membawa polis ke rumahnya di flat yang sama dan berjaya menahan seorang wanita dan seorang lelaki, masing masing berusia 24 dan 23 tahun yang merupakan adik kepada suspek pertama," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan di dalam rumah berkenaan, polis merampas sejumlah dadah jenis kanabis seberat 70 gram.

"Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.

"Suspek pertama ditahan reman selama tujuh hari manakala dua suspek lagi ditahan reman selama empat hari," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam tangkapan berasingan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul telah menahan dua lelaki masing-masing berusia 21 dan 48 tahun yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sebuah kawasan perkuburan di Sentul, Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek, pihak polis telah merampas dadah jenis heroin seberat 25.42 gram.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, semakan rekod jenayah mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah manakala suspek kedua mempunyai 12 rekod jenayah dadah.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Nilai rampasan dadah melibatkan kanabis ialah RM750 manakala heroin RM1,271 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 2,021," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!