Pahang catat nilai perdagangan RM3.5 bilion tahun lalu

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Pahang mencatatkan peningkatan nilai perdagangan ketiga tertinggi di Malaysia iaitu kira-kira RM3.5 bilion pada tahun lalu.

Perkara itu didedahkan dalam laporan terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang diumumkan pada Rabu.

Pencapaian itu adalah di sebalik prestasi perdagangan Malaysia secara keseluruhannya menurun 3.6 peratus, bernilai RM1.78 trillion pada tahun 2020 berbanding RM1.84 trillion pada tahun 2019.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu dapat dicapai susulan perancangan dasar dan inisiatif pelaburan aktif yang diperkenal dan dilaksanakan sejak tahun 2018 oleh kerajaan negeri.

“Di dalam laporan itu, memaklumkan bahawa tiga produk perdagangan eksport utama di Pahang tahun 2020 ialah besi dan keluli bernilai RM10.49 bilion (36.4 peratus), Oleochemical (palm based ) RM1.97 bilion (6.9 peratus serta minyak sawit RM984 juta (3.4 peratus).

“Bagi import pula, tiga produk utama ialah refined petroleum, RM1.31 bilion (13.3 peratus), barangan pembinaan besi dan keluli RM576 juta (4.2 peratus), serta produk lain berasaskan besi dan keluli RM436 juta (3.2 peratus)," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya pada Khamis.

Beliau memberitahu, Pahang sentiasa komited untuk memastikan perdagangan dalam negeri berada dalam keadaan stabil dan progresif.

Katanya, antara usaha ialah dengan menubuhkan pusat sehenti di Kawasan Perindustrian Gebeng dan ia sudah pasti akan memudah cara serta menyegerakan proses kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, pada suku pertama tahun 2020 (Januari hingga Mac), Kerajaan Pahang berjaya membawa masuk pelaburan bernilai RM91 juta.

“Kita juga berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.21 bilion dari Thailand, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada sosio-ekonomi negeri, tetapi juga kepada aspek pertukaran teknologi dalam bidang pertanian dan bio-teknologi,” ujarnyan

Sehubungan itu, Wan Rosdy menambah, Pahang berjaya menerima pelaburan RM9.38 bilion yang terhasil daripada 40 projek melalui Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Angka-angka positif yang dilaporkan ini ialah penanda aras bahawa ekonomi negeri Pahang berada dalam keadaan sihat dan berfungsi secara optimum.

“Kita harus terus membentuk ekosistem pembangunan ekonomi bersifat holistik dan ‘rakyat-centric’, bagi memastikan manfaatnya dapat terus dirasai oleh setiap anak negeri,” katanya.