Komplot guling PM, hanya provokasi politik: Penganalisis

A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Pas ada parti dalam PH yang berkomplot untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan hanya sekadar satu provokasi politik.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata beliau percaya strategi itu juga dilakukan untuk mengalihkan tumpuan terhadap isu RM90 juta yang dihadapi parti itu.

Malah katanya, strategi itu sering digunakan pelbagai pihak terhadap pelbagai pemimpin lain termasuk zaman BN dan menteri-menteri besar.

“Itu hanya provokasi politik. Perkara sama pernah terjadi kepada pemimpin BN dan Menteri Besar dulu.

“Tapi saya tak fikir ia akan berjaya dan saya percaya ada kaitan untuk Pas tepis isu yang mereka hadapi sekarang (berkaitan rasuah RM90 juta),” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 17 Februari lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa kononnya terdapat dua parti komponen dalam PH mungkin merancang untuk membelot terhadap Dr. Mahathir.

Takiyuddin yang menjawab kontroversi pertemuan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Dr Mahathir menjelaskan persetujuan bertulis parti itu sebenarnya draf ikrar menyokong pemimpin nombor satu itu jika parti komponen PH memulakan undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen.

Ketika ditanya kemungkinan desakan bekas ADUN DAP, Dr Boo Cheng Hau agar Dr Mahathir melepaskan jawatan itu sebagai strategi DAP, Syed Agil berkata perkara tersebut sekadar pandangan peribadi.

“Tidak adil sekiranya kenyataan itu dianggap mewakili parti kerana beliau seorang saja yang bersuara bukan pimpinan tertinggi parti.

“Kenyataan itu saya anggap tidak mencerminkan DAP sendiri. Hanya pandangan picisan,” katanya.

Namun beliau akui pemimpin tertinggi DAP tidak seharusnya berdiam diri dan perlu membuat kenyataan penafian.

“Sepatutnya DAP perlu buat kenyataan bidas kenyataan ahlinya. Saya tak faham apa yang DAP tak puas hati lagi.

“Mereka dapat kedudukan, jawatan, kerusi dan sebagainya apabila PH berkuasa,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia