Selangor peruntuk RM200 juta percepat imuniti kelompok

Amirudin ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 secara maya pada Rabu.
Amirudin ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 secara maya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk memperoleh vaksin supaya imuniti kelompok di negeri ini dapat dipercepatkan bagi mengekang penyebaran Covid-19.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor (SCVP) sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurutnya, kerajaan negeri bersama pembekal yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan membekalkan vaksin Covid-19 secara berfasa di negeri ini bermula akhir Jun ini.

“Selain golongan warga emas, pekerja industri perkilangan dan perkhidmatan, kerajaan Selangor juga mengusahakan perolehan vaksin sebagai persediaan melindungi generasi muda yang bakal berumur 18 tahun tetapi belum menerima vaksin.

“Kerajaan Selangor akan kembali ke Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membincangkan pelan serta memastikan pelarasan data-data penerima vaksin bagi mempercepatkan imuniti kelompok di Selangor sejajar dengan PICK,” katanya.

Berkenaan jenis vaksin yang akan dibekalkan, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menerima salah satu daripada tiga jenis vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.

Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan SCVP tidak akan membebankan sistem kesihatan awam di Selangor.

Ini kerana, katanya, pihaknya mempunyai jaringan lebih daripada 1,000 klinik-klinik Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) di bawah program Peduli Sihat yang bersedia melaksanakan program vaksinasi sama ada melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV), rumah ke rumah atau premis ke premis.

Artikel Berkaitan:

“Namun saya akan segera bertemu kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan program vaksinasi ini dengan harapan mempercepatkan inokulasi rakyat sebagai salah satu strategi terpenting mendepani wabak ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor umum peruntukan RM551.5 juta tangani pandemik