BSH RM100: Tidak cukup untuk orang bujang di bandar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 yang memperuntukkan RM100 kepada golongan bujang belum berkahwin dan berpendapatan rendah disifatkan tidak mencukupi khususnya buat penerima yang mencari rezeki di bandar.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar memberi tekanan dan membebankan semua golongan termasuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

"Jika dihitung secara kasar, peruntukan BSH sebanyak RM100 dilihat tidak mencukupi memandangkan golongan bujang di bandar perlu menyelesaikan sewa rumah, makanan dan pengangkutan yang mana kos tiga kategori ini lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

"Daripada sudut lain pula secara tidak langsung subsidi tunai itu dapat meringankan beban rakyat walaupun jumlahnya dianggap 'kecil'," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azlan turut menyarankan pihak kerajaan sentiasa menjalankan kajian menyeluruh dan terperinci sebelum menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Menurutnya, dalam konteks pengurusan ekonomi pemberian subisidi terutamanya melibatkan kewangan akan menganggu keseimbangan ekonomi negara.

"Atas faktor tersebut, kerajaan wajar memastikan setiap bantuan yang disalurkan tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara memandangkan Malaysia kini sedang berdepan kekurangan sumber kewangan lebih 50 peratus.

"Situasi ini berpunca selepas kerajaan baharu melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),"tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 sebanyak RM100 akan diberikan kepada individu di bawah kategori bujang pada hujung Mac depan.

Bayaran kepada golongan bujang yang berdaftar kepada dalam pangkalan data BSH 2018 itu bakal memberi manfaat lebih tiga juta individu dan melibatkan peruntukan RM300 juta.

Inisiatif tersebut dikatakan sebagai menepati langkah hasrat kerajaan membantu meringankan beban rakyat khususnya anak muda bujang berpendapatan kecil.

Setakat ini pihak Kementerian Kewangan memaklumkan telah menerima 900,000 permohanan termasuk 200,000 permohonan baru sejak BSH 2019 dibuka pada 1 Februari lalu.