Maqis gagalkan cubaan seludup katak, ikan keli

Katak hidup dan ikan keli yang cuba diseludup ke Singapura.
Katak hidup dan ikan keli yang cuba diseludup ke Singapura.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan membawa keluar katak dan ikan keli hidup tanpa permit ke Singapura pada Rabu.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, ia hasil pemeriksaan terhadap sebuah van yang diikrarkan membawa ikan basah di laluan lori eksport Kompleks Sultan Abu Bakar di sini bermula jam 10 pagi.

"Setelah pemeriksaan lanjut dijalankan pegawai penguasa Maqis, kita menjumpai sebanyak 20 kilogram katak hidup dan 20 kilogram ikan keli hidup bernilai kira-kira RM2,300.

"Katak dan ikan keli hidup itu disorokkan bersama ikan lain yang berpermit bagi mengelirukan pegawai bertugas semasa pemeriksaan.

"Pemandu van berumur 18 tahun itu ditahan, bagaimanapun dilepaskan setelah memberi kerjasama dan diambil rakaman percakapan. Kesemua barang dagangan tanpa permit tersebut ditahan sehingga siasatan selesai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah daripada Maqis merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambah Hizzuan, Maqis akan terus meningkatkan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat ditetapkan.

Artikel Berkaitan: