Islam galakkan umatnya mengembara

MK AZMAN
A
A

DARI perspektif Islam, bagaimana penilaian mengenai sebuah pengembaraan?

Menjawab soalan ini, pendakwah, Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau Ustaz MK Azman berkata, Islam menggalakkan umatnya mengembara.

Bahkan ujarnya, ALLAH SWT turut menyeru hamba-Nya berjalan dan meneroka isi muka bumi dengan tujuan untuk mencari ilmu, melihat kebesaran ciptaan-Nya, melihat kekuasaan ALLAH dan mencari rezeki.

ALLAH SWT berfirman: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula". (Surah Al-Mulk: 15)

Menerusi ayat itu, jelas Ustaz MK Azman, ALLAH SWT menggalakkan manusia supaya berkelana ke setiap pelusuk dunia. Malah ada lebih daripada satu ayat di dalam al-Quran yang menyebut perkataan 'berjalanlah' atau 'mengembaralah' di muka bumi.

"Semuanya bertujuan meningkatkan pengetahuan insan tentang kehidupan dan mendalami pengetahuan tentang Tuhan," jelasnya.

Kepada satu soalan, MK Azman berkata: "Islam tidak menghalang penganutnya ke Mekah atau ke mana sahaja dengan motosikal, hatta berbasikal sekalipun asalkan ia tidak memudaratkan pengembara. Sebelum mengembara, pengembara tersebut hendaklah memastikan laluan kembaranya selamat, jauh dari zon peperangan, mempunyai bekalan kewangan yang mencukupi, sihat tubuh badan dan menjaga ibadahnya sepanjang perjalanan kembara tersebut."

Bagaimana jika ditakdirkan pengembara ke tanah suci itu meninggal dunia ketika perjalanan?

Jawab MK Azman: "Orang yang mengembara ke tanah suci tetapi meninggal dunia sebelum sampai ke sana, dianggap mati dalam keadaan yang mulia kerana mempunyai hajat yang baik. Jika mati di tanah suci, bergembiralah kerana nanti Rasulullah SAW akan menjadi saksi dan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat."

Sementara itu, pendakwah, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar berkata, fenomena berbasikal atau menunggang motosikal ke tanah suci disifatkan usaha yang baik.

AHMAD FUAD
AHMAD FUAD

"Ia merupakan satu strategi mempromosikan masjid yang cukup luar biasa. Bila ada fenomena sebegini, ia akan menjadikan orang yang berduit terdetik untuk mengerjakan haji dan umrah," katanya.

Tambah Ahmad Fuad, kisah Uwais al-Qarni yang berpenyakit sopak mengembara bersama-sama ibunya untuk sampai ke tanah suci melakukan haji dan umrah boleh memberi inspirasi kepada umat Islam.

"Beliau seorang yang miskin dan datang dari Yemen. Lihat betapa Uwais sanggup berkorban apa sahaja untuk agamanya.Ini sekaligus mempromosikan kebaikan," ujar beliau.