X

Kindly register in order to view this article
!

3,176 warga emas di rumah jagaan di Perak terima dos pertama

Saarani (tengah) beramah mesra bersama penerima vaksin Covid-19, Ooi Ah Mooi (duduk) ketika beliau hadir ke Program Outreach Vaksin di Pusat Jagaan Warga Emas Twilight Care Centre, Ipoh pada Rabu. - Foto Bernama
A
A

IPOH - Seramai 3,176 warga emas di semua rumah jagaan orang tua yang berdaftar di Perak telah selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19 menerusi program ‘outreach’ oleh Jabatan Kesihatan Negeri, pada Rabu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, selain pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), inisiatif Program Outreach Pusat Jagaan Warga Emas itu telah dimulakan pada 11 Mei lepas melibatkan tiga pusat jagaan warga emas Seri Kenangan dan 118 rumah jagaan orang tua swasta atau di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Seperti yang saya umumkan minggu lepas, program outreach ini telah dibuat di daerah Hulu Perak, Lenggong dan Lawin tetapi pada waktu yang sama pasukan bergerak pergi dari satu tempat ke satu tempat untuk memberi vaksin kepada penghuni di rumah jagaan orang tua.

"Kita telah ambil inisiatif untuk pergi ke semuanya dan ini penamatnya yang mana ia adalah pusat jagaan yang terakhir kita datang untuk berikan vaksin dos pertama kepada penghuni rumah jagaan orang tua ini berasaskan persetujuan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama dan RTM selepas melawat rumah jagaan orang tua Twilight Care Centre, di sini pada Rabu sebagai penanda aras lengkapnya dos pertama di semua pusat jagaan warga emas yang berdaftar di negeri Perak.

Saarani berkata, program itu akan diteruskan bagi dos kedua di mana sebanyak 20 peratus daripada jumlah warga emas di pusat jagaan orang tua telah menerima dos kedua vaksin iaitu selepas 21 hari mereka menerima dos pertama.

"Selepas ini kita akan datang lagi untuk memberi dos kedua selepas 21 hari. Kita perlu lindung mereka yang berisiko tinggi kerana kalau mereka sakit akan bebankan fasiliti kesihatan kerana dimasukkan ke hospital dan ICU (unit rawatan rapi).

"Kita tidak mahu susahkan mereka sebab ada sesetengah itu terlantar jadi susah maka kita datang ke tempat-tempat ini," katanya.

Program Outreach merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan jumlah vaksinasi harian dalam kalangan rakyat Perak dengan petugas kesihatan bergerak ke kawasan luar bandar dan pusat jagaan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!