Lindungi laut daripada pelitup muka Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

HARI Lautan Sedunia yang disambut pada Selasa seharusnya meningkatkan kesedaran kita untuk terus memulihara sumber kehidupan penting manusia sejagat itu, khususnya tatkala pandemik Covid-19 sedang melanda dunia.

Laut ibarat jantung kepada bumi. Ia menstabilkan iklim, menyediakan sumber makanan kepada berbilion manusia, dan menjadi sumber ubat-ubatan.

Pada tahun 2017, seorang rakyat Malaysia secara purata makan ikan sebanyak 61.8 kilogram setahun.

Malangnya, lautan kian terancam, termasuk diancam oleh punca bukan konvensional seperti pelitup muka Covid-19!

Tahun lalu sahaja dianggarkan lebih 1.56 bilion daripada kira-kira 52 bilion pelitup muka yang dihasilkan pada 2020 menjadi ancaman kepada hidupan laut.

Kebanyakan pelitup muka diperbuat daripada polipropilena yang mengambil masa sekurang-kurangnya 450 tahun untuk terurai.

Selain itu, bahan mikroplastik yang dikeluarkan pelitup muka itu akan memberi kesan buruk kepada kitaran hidup ikan apabila ia memasuki rongga hidupan laut.

Walaupun tidak ke pantai atau turun ke laut, sikap penduduk bandar yang suka membuang pelitup muka sesuka hati sudah cukup untuk mengancam hidupan laut.

Artikel Berkaitan:

Tanda-tanda hidupan laut semakin tergugat boleh dilihat apabila jumlah pendaratan ikan di Malaysia semakin berkurang.

Menurut laporan, sumber hasil laut negara hanya mampu bertahan dalam tempoh kurang 30 tahun sahaja lagi.

Kajian Jabatan Perikanan pada 2016 mendapati stok ikan demersal seperti spesies gelama, kerisi, lolong bara, udang dan sotong semakin menyusut daripada 473,345 tan metrik pada 60 tahun lalu kepada 21,002 tan metrik pada masa itu.

Antara punca utama masalah ini ialah penggunaan pukat tunda dan peralatan tangkapan lain yang memusnahkan benih ikan dan tempat semula jadi pembiakan di samping pencemaran dan kemusnahan hutan paya bakau.

Justeru setiap kali menikmati hidangan ikan di atas meja makan, ingatlah laut dan tanggungjawab kita untuk memuliharanya.

Anda juga mungkin bertanggungjawab menyebabkan hasil laut kian berkurang dan semakin mahal harganya.