Tiada ERT, kilang plastik dikompaun RM10,000

Mohamad Roy Suhaimi (tengah) melakukan pemeriksaan terhadap pematuhan SOP PKP di Kawasan Perindustrian Bemban di Batu Gajah pada Selasa.
Mohamad Roy Suhaimi (tengah) melakukan pemeriksaan terhadap pematuhan SOP PKP di Kawasan Perindustrian Bemban di Batu Gajah pada Selasa.
A
A
A

BATU GAJAH - Gagal mewujudkan Pasukan Pemantauan Covid-19 (ERT) menyebabkan sebuah kilang plastik di Tronoh dekat sini dikenakan tindakan kompaun RM10,000.

Kesalahan itu dikesan menerusi operasi bersepadu polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) terhadap tiga kilang di sekitar daerah itu pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, keperluan mewujudkan ERT antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi pemain industri pembuatan dan perkilangan sepanjang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, pelaksanaan ERT selaras dengan peraturan-peraturan di bawah Seksyen 342 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Untuk PKP ini, syarikat perlu mempunyai pasukan bertindak mereka sendiri yang dilantik oleh majikan bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan sekiranya berlaku jangkitan di dalam kawasan kilang.

"Kegagalan melaksanakan perkara itu boleh dikenakan tindakan kompaun," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP PKP di kawasan Perindustrian Bemban di sini pada Selasa.

Tinjauan terhadap tatacara pengurusan kantin makanan pekerja kilang turut dilakukan di Kawasan Perindustrian Bemban di Batu Gajah pada Selasa.
Tinjauan terhadap tatacara pengurusan kantin makanan pekerja kilang turut dilakukan di Kawasan Perindustrian Bemban di Batu Gajah pada Selasa.

Beliau berkata, dalam operasi sama, polis turut mengeluarkan kompaun RM10,000 ke atas sebuah kilang mesin di Tronoh kerana tidak menyediakan buku data rekod.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, seorang pekerja kilang kondom di Bemban dikenakan kompaun RM2,000 kerana tidak melakukan imbasan MySejahtera.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP bagi semua premis sektor pembuatan serta perkilangan di kawasan tersebut.

"Boleh dikatakan 90 peratus pematuhan telah dibuat oleh pihak majikan. Mereka beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Kehadiran pekerja ke kilang juga mematuhi kehendak SOP bagi bahagian operasi dan pengurusan iaitu di bawah kadar 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja," katanya.

Sementara itu, Mohamad Roy Suhaimi menegur sikap segelintir orang awam yang masih melakukan pelanggaran SOP terutama tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak melakukan imbasan MySejahtera ketika memasuki premis.

"Kita lakukan pemantauan secara harian dan setiap hari kita dapati masih ada kesalahan sama dilakukan yang boleh dikenakan tindakan kompaun," katanya.