Import lembu, kerbau dari Thailand digantung serta-merta

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta. -Gambar hiasan
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta. -Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta.

Menerusi satu kenyataan, JPV berkata, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko mendapati penyakit kulit berbonjol atau 'Lumpy Skin Disease' (LSD) telah menular ke 41 wilayah di negara itu.

"Ketetapan ini diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara," kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Menurut jabatan itu, semua pemain industri terdiri daripada pengimport, peraih dan penternak diminta untuk memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan dengan pihak pembekal di Thailand.

"Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau daripada negara Thailand, JPV telah mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan, selain kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk pertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk," katanya.

JPV berkata, pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar berdekatan sekiranya terdapat gejala LSD pada lembu dan kerbau.

"Walaupun penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia, namun ia memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan terhadap ternakan yang dijangkiti," katanya.

LSD mula dikesan menular di beberapa negara Asia termasuk di India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, China, Vietnam, Myanmar dan terkini di Thailand.

Artikel Berkaitan:

Penyakit itu disebabkan oleh virus Poxviridae dan boleh tersebar kepada ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung lembu yang dijangkiti.