X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Hanya jalan tertentu dibenarkan dibuka

Mohamad Noor meninjau penugasan SJR di jalan masuk ke Jaya Gading yang dilaksanakan bermula awal pagi pada Selasa.
A
A

KUANTAN - Hanya jalan tertentu yang dibenarkan dibuka sebagai laluan keluar masuk di kawasan Jaya Gading dan Kawasan Perindustrian Gebeng di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Selasa hingga 21 Jun depan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sekatan jalan raya (SJR) dibuat di laluan berkenaan sebagai langkah kawalan.

Menurutnya, pergerakan keluar masuk dipantau melalui pemeriksaan rapi supaya hanya mereka yang dibenarkan boleh berbuat demikian.

"Bagi laluan lain di dua kawasan itu tindakan penutupan dilakukan bagi mengelak ada pihak cuba lolos masuk atau keluar tanpa kebenaran,"katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan perlaksanaan penugasan PKPD di Jaya Gading di sini, pada tengah malam Isnin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud.

Mohamad Noor berkata, lebih 9,000 penduduk terlibat bagi kawasan Jaya Gading manakala di Gebeng, PKPD hanya melibatkan kawasan industri.

"Bagi kawasan Jaya Gading, kemudahan yang ada dalam kawasan ini mencukupi termasuk bank, pasar raya dan klinik kesihatan dan premis ini dibenarkan beroperasi mengikut SOP PKPD ditetapkan.

"Bagi Klinik Kesihatan Jaya Gading yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), aktiviti itu juga dibenarkan dengan pemantauan pihak berkuasa,"katanya.

Tambah beliau, 56 pemain industri di kawasan perindustrian Gebeng juga bersedia dengan PKPD ini dan mereka memberi komitmen untuk mematuhi segala SOP ditetapkan.

Menyentuh berhubung laluan tikus yang ditutup dalam tempoh PKPD bagi daerah Kuantan yang berakhir pada 6 Jun lalu, Mohamad Noor berkata, pihaknya bercadang mengekalkan tindakan itu buat sementara waktu.

Laluan terlibat yang ditutup sebelum ini, Jalan Jabor-Jerangau di sempadan daerah Kuantan, Jalan Jabor Lama-Alor Batu, Jalan Felda Neram-Bukit Kuantan dan Jambatan Tanjung Selangor-Cherok Paloh.

Katanya, perkara itu dirujuk kepada pegawai daerah dan Ketua Polis Pahang untuk dipertimbangkan memandangkan laluan itu dikenalpasti merekodkan kes pelanggaran SOP rentas daerah agak tinggi.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!