Lima beradik yatim piatu sekelip mata akibat Covid-19

Allahyarham Rodzi dan Nazita
Allahyarham Rodzi dan Nazita
A
A
A

PORT DICKSON - Lima beradik di Bandar Sunggala di sini menjadi anak yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapa mereka meninggal dunia kerana Covid-19.

Bapa mereka, Rodzi Tahar, 55, meninggal dunia pada Isnin lalu manakala ibunya Nazita Idris, 45, pada Ahad ketika masing-masing dirawat di Hospital Tampin.

Lima beradik berkenaan, Muhammad Haidir, 23; Muhammad Hairie, 20; Nurhairieka,18; Muhammad Haiqiel, 13 dan Muhammad Khierzamani, 7, turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Turut positif Covid-19, iaitu nenek mereka berusia 75 tahun yang kini dirawat di Hospital Tampin namun keadaannya terkawal.

Muhammad Haidir ketika dihubungi Sinar Harian berkata, arwah ayahnya dimasukkan ke hospital pada 28 April lalu selepas ujian saringan dilakukan di Hospital Port Dickson mengesahkan yang dia positif Covid-19.

Muhammad Haidir
Muhammad Haidir

"Saya membuat keputusan mengajak ayah melakukan saringan Covid-19 kerana bimbang apabila dia demam dan mengalami sesak nafas. Lagipun ayah ada penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

"Rupa-rupanya ayah positif Covid-19 dan dia dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, semuanya terlalu pantas apabila doktor mengesahkan ayah telah pergi selamanya pada jam 4.30 pagi, 31 Mei lalu.

Ujian ditanggung Muhammad Haidir dan adik-beradiknya bertambah berat apabila ibunya pula disahkan positif pada hari bapanya meninggal dunia.

"Selepas enam hari ibu bertarung dengan Covid-19 ketika dirawat di hospital sama, dia disahkan meninggal dunia.

"Saya anggap semua ini sudah ketentuan. Saya pun tidak tahu bagaimana ia boleh menjangkiti arwah ayah sebelum menjangkiti kami sekeluarga.

"Walaupun saya dan adik-adik turut positif, tapi saya bersyukur kerana kami berada dalam keadaan baik-baik saja. Hanya pada awal itu kami hanya ada simptom demam," katanya.

Ujar Muhammad Haidir sebagai anak sulung, dia kini hanya menunggu waktu gelangnya dipotong bagi membolehkannya menyelesaikan urusan yang berkaitan arwah ibu bapanya.

Selepas itu katanya, dia mahu memikirkan masa depannya adik-beradik.

"Sebelum mak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), dia sempat berpesan supaya jaga adik-adik. Saya akan pegang amanah ini sebaik mungkin.

"Adik-adik saya OK, begitu juga dengan adik bongsu Muhammad Khierzamani. Cuma dia agak manja dengan arwah mak dan ayah," katanya.

Sementara itu, dia mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang menghulurkan sumbangan untuknya dan adik-beradik.