X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin guru dalam tempoh PdPR, cuti pertengahan penggal

Maszlee
A
A

JOHOR BAHRU - Semua guru dan kakitangan sekolah perlu diberi suntikan vaksin dalam tempoh pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan cuti pertengahan penggal bermula 13 Jun hingga 27 Julai.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, pemberian vaksin itu perlu sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula.

"Secara dasarnya saya bersetuju sesi pembelajaran secara PdPR diteruskan kerana kes Covid-19 yang masih tinggi dan majoriti guru serta kakitangan sekolah belum menerima suntikan vaksin.

'Kedua-dua keadaan ini boleh mendedahkan guru dan murid kepada kadar kebolehjangkitan virus yang lebih tinggi jika mereka kembali ke sekolah," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Bekas Menteri Pendidikan itu turut menyokong kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pada Isnin yang memohon PdPR diutamakan.

"Ramai guru yang baru berjinak-jinak dengan pembelajaran dan pemudah cara melalui internet. Mereka perlu belajar di samping mengajar dan kelihatan bersungguh-sungguh mencuba sesuatu yang tidak pernah mereka fikir akan melakukannya sebelum ini.

"Terdapat guru yang telah memiliki studio di rumah, saluran Youtube dan pelbagai cara lagi. Guru-guru perlu sentiasa berusaha semua murid dapat belajar walaupun tiada peranti dan internet.

"Ada juga guru yang berusaha mencetak bahan-bahan pembelajaran dan menyerahkan kepada murid-murid di rumah. Pelbagai cara dan usaha dilakukan untuk memastikan murid-murid tidak terus tercicir," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) katanya, program-program yang tidak berkaitan dengan PdPR seharusnya ditangguhkan kerana hanya akan menambah beban dan mengganggu tumpuan guru dalam tempoh PdPR.

"Antara program yang perlu ditangguhkan seperti Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25);Pelaksanaan Penarafan Sekolah Peluasan yang membudayakan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di bawah Inisiatif #20 PPPM2021.

"Seterusnya Perancangan Strategi Organisasi (PSO) Pembudayaan KBAT; Pelaksanaan Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pelaksanaan Dialog Prestasi, Pelaksanaan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dan Pelaksanaan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP)," katanya.

Pada Ahad, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan yang akan bermula 13 Jun dan 14 Jun depan akan dilaksanakan dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!