Ibu hamil tawar khidmat pemanduan percuma ke PPV

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Gambar hiasan
Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Gambar hiasan
A
A
A

CYBERJAYA - Melihat tambang perkhidmatan e-hailing mencecah RM50 bagi perjalanan dua hala Cyberjaya ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, mendorong seorang ibu hamil tampil menawarkan khidmat pemanduan secara percuma bagi mereka yang terkesan untuk ke menghadiri janji temu vaksin.

Hanya mahu dikenali sebagai Rabiatul, ibu hamil enam bulan itu mempromosikan khidmat kerja amalnya menerusi laman Facebook komuniti ‘Cyberjaya Residents’ bermula akhir bulan lalu dengan keutamaan kepada mereka yang tiada kenderaan dan kesempitan wang seperti pelajar dan ibu tunggal di sekitar Cyberjaya untuk dihantar ke PPV UKM dan membawa mereka pulang.

“Saya telah membawa seorang ibu tunggal pada 1 Jun lalu dan tunggu di PPV sehingga dia selesai proses vaksinasi. Rasa puas apabila dapat menolong orang lain yang memerlukan,” kata Rabiatul yang turut memberitahu telah dihubungi oleh beberapa individu untuk mendapatkan khidmatnya.

“Saya bergerak dengan kebenaran polis setiap kali kerana perlu merentas daerah dari sini (Cyberjaya). Bagi penumpang, mereka hanya perlu menunjukkan tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera di sekatan jalan raya (SJR)," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, PPV UKM dipilih kerana ia agak berdekatan dengan Cyberjaya selain tidak mengambil masa yang lama bagi urusan perjalanan dengan mengambil kira situasinya dirinya yang hamil itu.

Rabiatul berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat dititikberatkan contohnya penumpang perlu duduk di tempat duduk belakang.

Tertarik dengan inisiatif Rabiatul yang diketahui melalui ‘Cyberjaya Residents’, Pengarah Urusan Gilmore House Theraphy, Nazree Hisyam Md Nasir menuruti langkah yang sama dengan menjalinkan kerjasama dengan Klinik Mediviron Pelangi Semenyih bagi menempah perkhidmatan Grab dua hala untuk mereka yang perlu ke PPV.

“Saya mendapat makluman daripada rakan yang bertugas di PPV mengenai ketidakhadiran penerima vaksin yang secara tidak langsung menyumbang kepada pembaziran vaksin. Jadi usaha kami diharap dapat membantu mempercepat proses vaksinasi Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, khidmat tersebut diutamakan bagi warga emas dan juga mana-mana individu yang perlu hadir janji temu vaksinasi namun menghadapi kesukaran pergerakan.

"Alamat PPV adalah terbuka dan tidak terhad kepada satu PPV sahaja namun dengan syarat urusan pengambilan dan penghantaran penumpang adalah di Cyberjaya sahaja," katanya.

Nazree Hisyam berkata sebanyak 50 slot tempahan perkhidmatan Grab diperuntukkan sebagai permulaan dan akan ditambah mengikut keperluan warga Cyberjaya.

“Permohonan boleh dibuat menerusi mesej di Facebook Gilmore Kids Theraphy tiga hari sebelum tarikh vaksinasi dengan tangkap layar janji temu MySejahtera disertakan bagi memudahkan pihak kami membuat urusan tempahan,” katanya dengan harapan inisiatif itu memberi inspirasi kepada pihak lain untuk membantu mereka yang memerlukan. - Bernama